CAP gesa tubuh RCI siasat skandal LCS

Gambar fail. Gambar kecil: Mohideen
Gambar fail. Gambar kecil: Mohideen
A
A
A

GEORGETOWN- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kelemahan institusi dalam Kementerian Pertahanan berhubung skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, siasatan terperinci harus dijalankan bagi menyiasat kes itu yang dipercayai mempunyai unsur rasuah dan mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.

Menurutnya, RCI tersebut harus membuat cadangan mekanisme tadbir urus dan pengawasan yang lebih berkesan bagi menghapuskan rasuah serta salah guna kuasa di kementerian tersebut dan agensi kerajaan yang berkaitan.

"Kita menggesa agar kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat skandal perolehan senjata oleh Kementerian Pertahanan yang menjangkau tempoh 40 tahun. Kelemahan serius dalam Kementerian Pertahanan memberikan kesan buruk kepada keselamatan negara.

"Selain itu, ia menimbulkan ancaman dalaman kepada kedaulatan negara. Isu ini adalah lebih mendesak pada masa kini memandangkan ketegangan keselamatan di Laut Cina Selatan dan penyusunan semula kuasa politik di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, CAP juga mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung menyah-klasifikasikan laporan rahsia mengenai perolehan tentera bagi membolehkan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang mendakwa mereka yang terlibat dalam amalan rasuah tersebut.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan kertas siasatannya kepada Peguam Negara berhubung skandal LCS. Beliau perlu bertindak segera untuk membawa mereka yang terlibat dalam amalan rasuah ini tanpa mengira status dan pangkat ke muka pengadilan.

"Dengan itu, ia akan mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap proses kehakiman. Sejak 1980-an lagi Kementerian Pertahanan telah terjerumus dalam skandal pemerolehan yang masih berterusan antaranya pada 1981, Malaysia membeli 26 unit kereta kebal British Alvis Scorpion. Enjin petrol Rolls-Royce yang disyorkan telah digantikan dengan enjin diesel yang lebih perlahan dan dengan senjata yang lebih berat.

"Pengubahsuaian ini menjadikan kereta kebal itu lebih berat dan perlahan, menjadi sasaran mudah dalam sebarang keadaan. Ia telah dilupuskan pada 2018 dengan berlakunya pertukaran kerajaan. Sejumlah 186 kapal pengangkut tentera berperisai SIBMAS yang dibeli oleh Malaysia pada 1983 didapati kurang keberkesanannya pertempuran," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia juga telah membeli 18 buah jet pejuang Sukhoi Su-30MKM buatan Rusia melibatkan perjanjian bernilai RM3.2 bilion.

"Bagaimanapun, menjelang 2018, kebanyakan daripada jet pejuang itu dilaporkan tidak boleh diservis yang mana, hanya empat daripada 28 jet pejuang Rusia ini yang mampu terbang.

"Selain itu, pada 2002, Kementerian Pertahanan telah berunding melalui sebuah syarikat tempatan Perimekar Sdn Bhd yang berpangkalan di Kuala Lumpur untuk membeli dua buah kapal selam Scorpene dan sebuah kapal selam Agosta terpakai keluaran kerajaan Perancis pada harga RM4.5 bilion," katanya.

Mohideen berkata, dengan semua skandal melibatkan Kementerian Pertahanan itu, ia menunjukkan bahawa rasuah dan penyalahgunaan dalam perolehan pekakasan dan sistem keselamatan bukan sekadar kes ‘epal buruk’ tetapi masalah sistemik dalam kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan.

"Persoalan yang timbul adalah integriti institusi keseluruhan pemerolehan dan proses pengurusan keselamatan.

"Secara seriusnya, ia menjejaskan keberkesanan dan kesediaan berperang pasukan keselamatan kita dalam melindungi negara kita," katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan laporan yang menyatakan kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut, Perak yang dilaksanakan secara runding terus namun tiada kapal diterima setakat ini.

Dalam laporan tersebut, Bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar mengakui kecewa apabila segala teguran dan pendiriannya mengenai tatacara perolehan projek pembinaan LCS TLDM kepada pimpinan tertinggi negara tidak diendahkan.

Isu itu kini menjadi perbalahan pemimpin politik kerajaan dan pembangkang yang mendesak siasatan secara terperinci selain segera mendakwa individu yang terlibat dengan skandal berkenaan.

Ends.