MELC 2022 fokus aspek perundangan perburuhan

Mohd Asri ketika menyampaikan ucapan perasmian MELC 2022 di sebuah hotel pada Selasa.
Mohd Asri ketika menyampaikan ucapan perasmian MELC 2022 di sebuah hotel pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Semua pihak khususnya majikan dan kerajaan perlu menjalinkan kerjasama erat serta utuh untuk memastikan kepentingan dan perlindungan pekerja sentiasa terjaga.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Mohd Asri Abdul Wahab berkata, dalam masa sama, pihaknya sentiasa bersedia membantu dan menyokong pihak majikan dalam usaha mewujudkan persekitaran pekerjaan yang dinamik dan harmoni.

Ujar beliau, penganjuran Persidangan Undang-undang Pekerjaan Malaysia 2022 (MELC 2022) kali ini memberi banyak manfaat dan informasi penting melibatkan kepentingan buruh dalam pelbagai sektor sama ada swasta atau kerajaan.

"Saya juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada syarikat Q3 Management Solutions Sdn Bhd dan MyFreely Academy atas usaha menganjurkan persidangan seumpama ini yang memfokuskan kepada aspek perundangan perburuhan.

"Forum ini boleh digunakan oleh semua pihak bertukar- tukar pandangan dan idea ke arah mewujudkan mekanisme pengurusan pekerja yang efektif dan berkesan," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian MELC 2022 di sebuah hotel pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah Urusan HR Edge Consulting Sdn Bhd dan MyFreelys Academy, Y.K. Lai serta Pengarah Urusan Q3 Management Solution Sdn Bhd, Emilawati Zainol.

Dalam pada itu, Mohd Asri turut menegaskan supaya semua premis syarikat perlu memohon sijil perakuan penginapan bagi pekerja mereka.

Menurutnya, majikan yang tidak mempunyai sijil tersebut dianggap gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) yang ditetapkan.

Menurutnya, JTKSM sentiasa mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap akta berkenaan melalui pemeriksaan ke atas majikan.

"Cuma isu sekarang adalah sukar sesetengah tempat itu untuk mendapat kebenaran ataupun satu surat tiada halangan daripada majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kadang-kadang rumah itu berada di kawasan perumahan yang kita tinggal dan ada juga kemungkinan jiran-jiran tidak suka dengan pekerja-pekerja duduk sesama mereka. Sebab itu akan menimbulkan isu tentang masalah sosial," ujarnya.