'Hanya mampu baca Surah Yasin ketika rumah dibadai ribut'

Rumah Daud yang terletak di Felda Neram 2, Bandar Baru Cheneh di Kemaman dilanda ribut, pada Isnin.
Rumah Daud yang terletak di Felda Neram 2, Bandar Baru Cheneh di Kemaman dilanda ribut, pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang mangsa kejadian ribut terkedu dan hanya mampu membaca potongan ayat daripada Surah Yasin ketika melihat rumahnya dibadai ribut dalam kejadian di Felda Neram 2, Bandar Baru Cheneh di Kemaman pada Isnin.

Daud Deraman, 61, berkata, ketika kejadian dia berada di kawasan luar rumah manakala isteri, anak, menantu dan cucunya berada di dalam rumah.

"Sebelum dibadai ribut, cuaca hujan tetapi tidak begitu lebat. Dalam jam 5 lebih saya nampak angin kuat berpusing datang membadai bumbung rumah saya.

"Dekat 20 minit juga kawasan rumah dilanda angin kuat menyebabkan kira-kira 50 keping atap rumah rosak dan diterbangkan angin. Ketika saat genting itu, saya hanya mampu membaca Surah Yasin, berdoa dan berserah kepada ALLAH SWT," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Daud berkata, walaupun kediamannya dilanda ribut, dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

"Anggaran kerugian saya alami mungkin sekitar RM10,000 termasuk barangan dalam rumah yang rosak kerana dimasuki air selepas bumbung rumah rosak.

"Sepanjang 60 tahun saya tinggal di sini, ini kali pertama kawasan ini dilanda ribut. Sebelum ini tidak pernah berlaku," katanya.

Lebih 70 buah rumah di daerah Dungun dan Kemaman rosak dipukul ribut dalam kejadian yang berlaku pada petang Isnin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu melibatkan Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dan Bandar Bukit Besi di Dungun manakala di Kemaman pula melibatkan Bandar Baru Cheneh dan Felda Neram.