Sindiket ah long tumpas

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Polis berjaya menumpaskan satu sindiket along yang aktif mengugut para peminjam mereka yang gagal membuat pembayaran pinjaman, semalam.

Kejayaan itu hasil penangkapan tiga anggotanya terdiri daripada dua lelaki serta seorang wanita tempatan berumur antara 27 dan 29 tahun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dua suspek ditahan pada 12.20 tengah malam di tempat letak kereta sebuah apartmen di Taman Setanggi manakala seorang lagi diberkas di sebuah kedai kopi di Taman Sentosa di sini pada 2.40 pagi.

Katanya, sindiket disifatkan ganas dan berbahaya kerana telah melakukan simbah cat, menampal notis berunsur ugutan serta membakar rumah peminjam di beberapa lokasi antaranya di Johor Bahru, Petaling Jaya, Kepong, Cheras dan Ipoh.

“Sindiket ini telah dikesan bergiat aktif sejak penghujung Februari lepas dengan menyasarkan individu atau peminjam yang gagal membuat pembayaran pinjaman yang mana urusan pinjaman tersebut dipercayai dilakukan di negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Shahurinain, beberapa peralatan termasuk tin cat merah, botol penyembur, penutup muka, minyak petrol dan sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan oleh sindiket untuk mengganggu dan memberikan ugutan terhadap mangsa turut dirampas.

Katanya, dengan tangkapan tersebut, polis juga berjaya menyelesaikan enam kes yang dilaporkan di daerah Johor Bahru Selatan, 13 kes di daerah Iskandar Puteri, enam kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Batu Pahat dan Perak.

Kesemua suspek kini direman selama tiga hari mulai semalam hingga esok (5 April).

Artikel Berkaitan:

“Soal siasat masih diteruskan bagi mengenal pasti suspek-suspek lain yang terlibat,” tambahnya.

Kes disiasat di bawah Sesyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 atau Sesyen 506 Kanun Keseksaan. - Bernama