Kerajaan Perak tunggu laporan siasatan pesawat terhempas

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perak sedang menunggu laporan siasatan berhubung insiden pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng di sini awal bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pihaknya akan memanggil Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi mendapatkan penerangan terperinci selepas siasatan selesai.

"Kita serah kepada pihak berwajib kerana ia melibatkan isu teknikal, bukannya disebabkan cuaca atau lain-lain dan pihak yang menjalankan siasatan perlu membentangkannya kepada kerajaan negeri untuk penilaian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini pada Selasa.

Mohd Zolkafly berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak menghentikan sebarang aktiviti latihan penerbangan di lokasi terbabit yang sudah sekian lama menempatkan sekolah penerbangan.

Katanya insiden melibatkan pesawat jenis Piper PA-28-161 Warrior II itu turut menyebabkan sedikit kerosakan pada pam Sungai Rokam milik Jabatan Pengairan dan Saliran yang baru disiapkan bagi mengatasi isu banjir di kawasan berkenaan namun tiada aduan diterima setakat ini.

Dalam insiden kira-kira 8 malam 1 Ogos lepas, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor maut manakala Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera.

Kedua-dua jurulatih penerbangan itu dilaporkan berlepas dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian tersebut. - Bernama