TFC ketepi seketika final Piala FA

Nafuzi
Nafuzi
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) mahu melupakan seketika aksi final Piala FA, sebaliknya memberikan fokus bagi mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, anak-anak buahnya harus memberikan keutamaan dalam baki lapan perlawanan bagi memastikan mereka mengakhiri saingan pada kedudukan terbaik.

“Kami harus lupakan sementara final Piala FA dan fokus pada Liga Super.

Bila dah tahu tarikh dan juga venue final Piala FA, baru kita berikan fokus pada aksi final itu nanti.

“Lagi pun, sasaran untuk ke final Piala FA sudah pun tercapai.

Sekarang masanya untuk berikan fokus Liga Super pula, kalau nak fokus selepas final (Piala FA) dah terlambat.

“Saya ingatkan kepada semua pemain agar berikan fokus sepenuhnya untuk Liga Super.

Sekarang pun dah masuk second round Liga Super,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Selepas mengharungi 14 perlawanan, TFC berada di tangga keempat apabila mengumpul 20 mata - ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu, JDT.

Sabah FC yang telah beraksi 15 perlawanan pula berada di tangga kedua dengan 34 mata, manakala Negeri Sembilan FC di tangga ketiga (32 mata) selepas mengharungi 16 perlawanan.

Dalam pada itu, Nafuzi berkata, beliau dan skuad kendaliannya bersedia dengan sebarang kemungkinan jika aksi final Piala FA berlangsung di gelanggang berkecuali.

“Kalau tarikh final Piala FA dapat tahu awal... baguslah, senang kami buat persiapan.

Sekiranya main di venue berkecuali itu bukan kuasa kami, kami kena ikut sajalah.

“Tetapi setakat ini kita memang dah check (periksa) keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, nampak elok saja, tetapi kalau diminta bermain di tempat lain (berkecuali), kami akur,” ujarnya.