Buli bukan gurauan

Gejala buli tidak boleh dibiarkan atau dipandang enteng kerana ia melibatkan jiwa generasi muda yang masih lemah untuk berdepan realiti hidup.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Gejala buli tidak boleh dibiarkan atau dipandang enteng kerana ia melibatkan jiwa generasi muda yang masih lemah untuk berdepan realiti hidup.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

SEHARI dua ini, sibuk orang bercerita tentang satu kes buli yang tular di media sosial didakwa berlaku di sebuah sekolah menengah berasrama penuh di Pantai Timur.

Kes tersebut mula mendapat perhatian ramai apabila seorang wanita dipercayai ibu kepada mangsa membuat pendedahan berhubung kes tersebut yang melibatkan anak gadisnya.

Dia mendakwa, baju sekolah anaknya yang berusia 14 tahun itu diconteng manakala rambutnya digunting ketika tidur.

Selain itu, wanita tersebut juga mendakwa wujud perbuatan khianat serta budaya gengsterisme di sekolah menengah berasrama penuh itu.

Susulan itu, satu siasatan telah dijalankan selepas pihak polis menerima dua laporan daripada pihak sekolah dan ibu mangsa.

Sehingga kelmarin, polis telah memanggil seramai lima individu untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya memandang serius kes tersebut dan tidak akan berkompromi dengan kes buli.

Tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terlibat jika hasil siasatan mendapati berlaku salah laku itu, katanya.

Sedar atau tidak, gejala buli nampaknya sedang bercambah dan semakin menjadi-jadi di negara kita sejak lima tahun kebelakangan ini.

Hampir setiap tahun, ada sahaja kes buli melibatkan pelajar sekolah dilaporkan berlaku di negara ini sehingga menjadi sorotan utama media.

Rekod Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menunjukkan sebanyak 38 kes buli telah dilaporkan dalam tempoh empat bulan pertama 2022.

Apa yang merisaukan ialah kes tersebut bukan sahaja melibatkan penderaan mental dan emosi malah turut membabitkan kecederaan fizikal dalam kalangan mangsa.

Dalam kes seperti di atas, sudah tentu mangsa adalah individu yang paling tertekan kerana terpaksa menanggung kesan dan akibat perbuatan ganas tersebut.

Justeru, gejala tersebut tidak boleh dibiarkan atau dipandang enteng kerana ia melibatkan jiwa generasi muda yang masih lemah untuk berdepan realiti hidup.

Pendendam

Kesan daripada perlakuan itu, mangsa cenderung menjadi seorang yang tertekan, pendendam dan agresif.

Berdasarkan data sebuah laman sesawang kempen antibuli Amerika Syarikat, seramai 12 daripada 15 pelaku kes tembak sekolah di negara itu pada era 1990-an didapati mempunyai sejarah sebagai mangsa buli.

Malah, ada juga dalam kalangan mangsa buli yang hidup dalam trauma berpanjangan sehingga hilang minat dalam pelbagai aktiviti termasuk mengasingkan diri daripada masyarakat.

Hal tersebut secara tidak langsung menyebabkan kehidupan peribadi dan kesihatan mereka terjejas.

Sedangkan mereka yang membuli pula terus dengan kelakuan tersebut tanpa sedikit pun rasa bersalah sehingga gejala itu menjadi sebahagian daripada ‘hiburan’ dalam kehidupannya.

Bayangkan apa akan jadi kepada negara sekiranya generasi akan datang terdiri daripada mereka yang mempunyai sejarah dibuli?

Sudah tentu ia akan menyukarkan proses membina bangsa kerana mereka ini dibelenggu dengan sejarah silam yang boleh menjejaskan kestabilan metal dan emosi.

Dalam hal ini, kita tidak boleh lagi membiarkan atau menganggap gejala buli sebagai kes terpencil antara pelajar sekolah.

Ia perlu diangkat sebagai isu serius kerana ia melibatkan masa depan generasi akan datang yang berkemungkinan mentadbir negara suatu hari nanti.

Bagi mengekang gejala tersebut, satu tindakan tegas perlu diambil dengan mengklasifikasikan buli sebagai jenayah untuk mengekang kes daripada berlarutan pada masa depan.

Kata-kata seperti buli cuma ‘gurauan budak nakal’ tidak boleh diterima pakai kerana perlakuan tersebut tidak mendatangkan sebarang kelucuan kecuali kesengsaraan.

Ini kerana gejala tersebut umpama barah yang ‘membunuh’ dalam senyap. Ia boleh merosakkan jiwa dan emosi mangsa dalam tempoh panjang.

Oleh yang demikian, satu mekanisme perlu diwujudkan bagi mengekang gejala tersebut daripada terus menjadi sebahagian daripada ‘hiburan’ pembuli.

Perlu diwujudkan satu talian khusus bagi membolehkan perlakuan buli diadukan secara terus kepada pihak berkuasa agar tindakan segera boleh diambil.

Sementara individu yang cuba menyembunyikan atau mendiamkan perlakuan buli pula perlu dikenakan tindakan tegas.

Dalam masa sama, ibu bapa juga harus memainkan peranan agar sentiasa menasihati anak-anak supaya tidak terlibat dengan gejala buli atau lebih tepat lagi menjadi pembuli.

Jelaskan kepada mereka kesan dan akibat buli untuk jangka masa pendek dan panjang.

*Hafezdzullah Mohd Hassan ialah wartawan Sinar Premium.