Mohamad Sabu dedah 39 siasatan JKSTUPKK ketika jadi menteri

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu mendedahkan sebanyak 39 siasatan mengenai penyelewengan, salah guna kuasa atau pembaziran kewangan negara telah dilaporkan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan.

Menurut beliau, 26 kes yang disiasat adalah melibatkan Kementerian Pertahanan serta siasatan juga turut dijalankan meliputi sembilan kementerian melibatkan bajet kerajaan sebanyak RM47 bilion.

“Menurut JKSTUPKK, antara kelemahan yang ketara adalah perancangan yang lemah, due diligence yang tidak komprehensif, kelemahan klausa kontrak, kelemahan penguatkuasaan kontrak, gagal mengikut garis panduan, pembelian prototaip, perolehan secara rundingan terus yang kurang telus, kekurangan pemantauan dan campur tangan anggota pentadbiran dalam proses perolehan.

“Kes LCS adalah salah satu kes yang paling tidak dapat diterima,” ujarnya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Mohamad berkata, beliau telah menyahklasifikasikan 16 laporan siasatan JKSTUPKK untuk pengetahuan umum mengenai isu ‘land swap’ di antara Mei hingga Disember 2018 yang melibatkan hampir 3,000 ekar tanah Kementerian Pertahanan bernilai RM4.8 bilion.

Berkenaan isu kontroversi perolehan kapal tempur pesisir (LCS), beliau turut berharap janji Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyahklasifikasikan laporan siasatannya dapat ditunaikan setelah mendapat persetujuan dalam mesyuarat jemaah menteri.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan bahawa Ismail Sabri berkata, sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Katanya lagi, Jemaah Menteri turut mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan.

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Mohamed Sabu berkata, penubuhan JKSTUPKK merupakan hasil cadangan beliau ketika Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat sebagai kerajaan.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri pertama yang saya hadiri selepas dilantik sebagai menteri, saya telah cadang untuk menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) diketuai oleh mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

“Jawatankuasa ini bertujuan untuk melakukan siasatan terhadap tadbir urus, perolehan dan kewangan di pelbagai kementerian.

"JKSTUPKK juga akan mengenal pasti sekiranya berlaku penyelewengan, salah guna kuasa atau pembaziran kewangan negara,” katanya lagi.