KPT tubuh inkubator keusahawanan

Noorazah (tengah) merasmikan Majlis Penutupan SEIP 2022 di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok, pada Ahad.
Noorazah (tengah) merasmikan Majlis Penutupan SEIP 2022 di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok, pada Ahad.
A
A
A

BACHOK - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menubuhkan inkubator latihan kemahiran keusahawanan di 10 buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terpilih menerusi Structured Entrepreneurial Incubator Program (SEIP) dalam usaha memperkasa budaya keusahawanan mahasiswa universiti.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Dasar Antarabangsa, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datin Noorazah Omar berkata, pelaksanaan inkubator ini membolehkan para peserta menerima latihan dan bimbingan perniagaan secara terus daripada pakar-pakar dalam kalangan ahli akademik dan pemain industri.

Katanya, sebanyak lima kluster utama inkubator diwujudkan iaitu teknologi digital, sains dan teknologi, industri agro, keusahawanan sosial dan industri kreatif membabitkan tujuh buah IPT iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Dua lagi inkubator ditubuhkan di Politeknik Muadzam Shah dan Politeknik Melaka.

“KPT melihat pencapaian 10 inkubator yang ditubuhkan itu amat baik dan menunjukkan hasil yang positif apabila berjaya menjana pendapatan secara keseluruhannya mencecah RM360,000 dalam tempoh Januari 2021 hingga Julai 2022,” katanya pada Majlis Penutupan SEIP 2022 di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok, pada Ahad.

Noorazah turut menyempurnakan majlis penyampaian anugerah kepada pemenang The Best Incubator Award dan The Best Product Winner.

Pemenang Anugerah Reka Bentuk terbaik SEIP pada Ahad.
Pemenang Anugerah Reka Bentuk terbaik SEIP pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts Dr Arham Abdullah.

Menurut Noorazah, lebih membanggakan apabila terdapat produk-produk inovasi yang dihasilkan daripada program ini juga berkualiti tinggi dan mempunyai prospek pasaran yang besar.

“Misalnya syarikat Eureka Technology Solutions daripada inkubator UTeM yang menghasilkan sistem memantau parameter asas pertanian seperti suhu baja, kelembapan udara, cahaya matahari dan kelembapan tanah secara dalam talian.

“Saya yakin latihan, bimbingan dan sokongan yang diterima oleh peserta melalui inkubator-inkubator berupaya meningkatkan kompetensi mereka di pasaran,” katanya.

Sementara itu, Prof Dr Arham berkata, UMK diberi kepercayaan menyelaras program SIEP melalui Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi bagi mengetengahkan keberhasilan produk penuntut berasaskan inovasi dan teknologi.

“UMK kini berada dalam fasa keusahawanan berteraskan inovasi menerusi platform Ignite Venture Lab atau dikenali sebagai (IVL).

“UMK melalui IVL meletakkan sasaran menghasilkan 50 syarikat pemula berteraskan inovasi dengan hasil jualan berjumlah RM1 juta pada tahun 2025 dan diyakini dapat merealisasikan,” katanya.