Lampu limpah stadium: Exco jumpa pembekal Khamis ini

Wan Roslan (depan dua dari kiri) selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Pensijilan Kulinari 1.0 di H Elite Hotel, Kota Bharu pada Isnin.
Wan Roslan (depan dua dari kiri) selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Pensijilan Kulinari 1.0 di H Elite Hotel, Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan mengadakan lawatan ke kilang pembekal lampu limpah di Shah Alam untuk melihat sendiri masalah yang sedang dihadapi pihak terbabit susulan kegagalan berbuat demikian sebagaimana tempoh dijanjikan.

Exco Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, lawatan tersebut akan dilakukan pada Khamis ini.

"Mengikut jadual lampu limpah ini sudah boleh beroperasi sepenuhnya pada 24 Ogos ini sebagaimana yang terkandung dalam syarat perjanjian.

"Bagaimanapun berlaku sedikit kelewatan. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk turun padang melihat sendiri masalah tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Pensijilan Kulinari 1.0 di H Elite Hotel pada Isnin.

Menurutnya, pemasangan lampu limpah baharu itu merupakan sebahagian daripada kerja-kerja naik taraf Stadium Sultan Muhammad IV selain kerja-kerja baik pulih kerosakan pada struktur bangunan.

Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor itu berkata, keseluruhan kerja-kerja naik taraf itu membabitkan peruntukan berjumlah RM5 juta.