Dua pemilik syarikat mengaku bersalah palsukan dokumen

Muhd Rumzan keluar daripada mahkamah selepas dijatuhkan hukuman denda di Mahkamah Sesyen pada Isnin.
Muhd Rumzan keluar daripada mahkamah selepas dijatuhkan hukuman denda di Mahkamah Sesyen pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua pemilik syarikat dijatuhkan hukuman denda RM100,000 dan RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin kerana memalsukan dokumen dalam permohonan tender pembersihan tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Rumzan Othman, 68, dan Anuar Abdul Aziz, 39, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Rumzan didakwa secara curang menggunakan dokumen palsu penyata akaun Maybank Islamic milik syarikat MRR Enterprise bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 untuk mendapatkan tender projek.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat E-Idaman Sdn Bhd di sini, antara 16 hingga 22 Januari 2019.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Rumzan didakwa secara curang menggunakan dokumen palsu penyata akaun Maybank Islamic milik syarikat Hanna Niaga Enterprise bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 dalam permohonan tender pembersihan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Idaman, Environment Idaman (Kedah & Perlis) pada 19 Januari 2019.

Anuar (dua dari kanan) keluar daripada mahkamah selepas dijatuhkan hukuman denda di Mahkamah Sesyen pada Isnin.
Anuar (dua dari kanan) keluar daripada mahkamah selepas dijatuhkan hukuman denda di Mahkamah Sesyen pada Isnin.

Dalam kertas pertuduhan berasingan, Anuar didakwa secara curang menggunakan dokumen palsu penyata akaun CIMB milik syarikat LJ Maju Sdn Bhd bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 dalam permohonan tender pembersihan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Idaman, Environment Idaman (Kedah & Perlis) pada 21 Januari 2019.

Bagi kesemua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian memutuskan kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM50,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Kedua-dua tertuduh kemudian membayar denda berkenaan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.