Kowata boleh jadi mentor koperasi OKU

Zazali (belakang, tengah) bersama ahli Kowata selepas merasmikan Kowata di Marang pada Ahad.
Zazali (belakang, tengah) bersama ahli Kowata selepas merasmikan Kowata di Marang pada Ahad.
A
A
A

MARANG – Kewujudan Koperasi Komuniti Cakna Wakaf Tapai Marang Berhad (Kowata) yang disertai orang kurang upaya (OKU) boleh dijadikan mentor kepada koperasi melibatkan golongan tersebut pada masa akan datang.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Zazali Harun berkata, ini kerana koperasi yang didaftarkan pada tahun 2019 itu berjaya membuka peluang pekerjaan kepada OKU mengikut kemahiran mereka.

Menurut beliau, Kowata turut berperanan membantu meningkatkan pendapatan ahli OKU yang bekerja di koperasi berkenaan.

“Koperasi sebenarnya bertindak sebagai pemain industri kraftangan untuk golongan OKU, kraftangan yang dihasilkan OKU tempat lain dipusatkan di koperasi komuniti cakna sebagai pemasaran.

“Ia bertujuan bagi mengelak dari campur tangan orang tengah yang bertindak memanipulasi harga barangan dijual,” katanya ketika berucap merasmikan Kowata, di sini pada Ahad.

Kowata yang mempunyai 83 ahli menjalankan perniagaan menghasilkan beg dan barangan kraftangan bermotif batik di bawah jenama TAPAi secara buatan tangan.

Antara keistimewaan barang jenama TAPAi adalah ia dihasilkan seratus peratus buatan tangan pelatih OKU jenis masalah pembelajaran, pekak bisu dan fizikal yang merupakan ahli koperasi dengan bantuan guru pembimbing.

Antara beg berasaskan batik yang dihasilkan Kowata.
Antara beg berasaskan batik yang dihasilkan Kowata.

Sementara itu, Zazali berkata, SKM bersetuju meluluskan bantuan Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (Transfer) berjumlah RM100,000 kepada Kowata bagi memajukan perniagaan koperasi tersebut.

Jelas beliau, bantuan tersebut untuk keperluan mengubah suai butik dan bengkel supaya lebih menarik selain pembelian peralatan jahitan serta kelengkapan fotografi produk yang dihasilkan bagi tujuan promosi dalam talian.

“Bantuan Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (e-Dapat) berjumlah RM20,000 turut diberikan sebagai pembiayaan sebahagian kos pemasaran produk kraftangan jenama TAPAi secara atas talian sekali gus meningkatkan pendapatan koperasi,” katanya.