Shandong wilayah ketamadunan China

Yantai merupakan bandar yang kaya dengan hasil laut.
Yantai merupakan bandar yang kaya dengan hasil laut.
A
A
A

SEBAIK sahaja penulis bersama dua rakan media dari Malaysia tiba di Beijing selepas selesai menjalani kuarantin di Jiangxi, kami dimaklumkan akan mengikuti lawatan ke satu wilayah di bahagian timur iaitu Shandong.

Pastinya ia merupakan satu perkhabaran gembira buat semua wartawan yang mengikuti program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) kerana hampir dua bulan mereka tidak keluar dari Beijing.

Ini kerana, apabila China mengamalkan dasar sifar Covid-19, ia menyebabkan sedikit kesukaran untuk memasuki wilayah lain kerana masih terdapat beberapa kawasan yang dianggap berisiko tinggi walaupun dengan hanya beberapa kes positif sahaja.

Kami diberitahu bahawa Shandong merupakan satu wilayah persisiran pantai yang mempunyai pemandangan menakjubkan.

Manakan tidak, setengah daripada wilayah tersebut iaitu keluasan sebesar 159,000 kilometer persegi adalah kawasan laut dan selebihnya seluas 158,000 kilometer persegi pula merupakan kawasan darat.

Orang ramai bermandi-manda di tepi pantai pada musim panas.
Orang ramai bermandi-manda di tepi pantai pada musim panas.

Tambahan pula kami semua diberitahu akan menaiki kereta api laju yang berkelajuan sehingga 350 kilometer sejam untuk menuju ke Shandong.

Semestinya membuatkan penulis teruja kerana ia merupakan kali pertama menaiki kereta api tersebut.

Penulis dan 33 wartawan lain dari Asia Pasifik serta Afrika tiba di Shandong dengan jarak perjalanan sekitar 750 kilometer dengan hanya mengambil masa hampir enam jam sahaja.

Penulis melakukan aktiviti di salah sebuah muzium di Shandong.
Penulis melakukan aktiviti di salah sebuah muzium di Shandong.

Bayangkan jika kereta api berkelajuan tinggi seperti itu berada di Malaysia, sudah semestinya akan memudahkan orang ramai.

Ramai akan memilih untuk menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri untuk pergi ke sesuatu tempat yang jauh.

“Sememangnya suasana di kawasan yang dikenali sebagai Yantai ini sangat berbeza dengan Beijing yang hanya dipenuhi dengan bangunan,” begitu ungkapan seorang wartawan dari Fiji, Mereleki Nai apabila tiba di Shandong.

Kehadiran kami disambut dengan pemandangan pantai dan laut. Airnya yang berwarna kebiruan ternyata amat menenangkan. Shandong juga terkenal dengan makanan laut yang sedap dan segar.

Selain itu, Shandong merupakan wilayah yang memainkan peranan penting dalam tamadun China kerana budaya Qi dan Lu yang telah lama wujud selain merupakan tempat asal Confucius.

Confucius merupakan seorang individu dikenali sebagai guru pertama di China yang ingin menjadikan pendidikan disediakan secara meluas dalam negara tersebut.

Beliau juga memainkan peranan yang amat penting dalam mewujudkan seni pengajaran sebagai kerjaya.

Confucius telah menubuhkan standard etika, moral dan sosial yang menjadi asas kepada cara hidup yang dikenali sebagai konfusianisme.

Manusia telah mula hidup di wilayah itu sejak 400,000 hingga 500,000 tahun lalu, malah Tembok Besar tertua dan terkenal di dunia juga terdapat di situ.

Tambahan pula wilayah itu juga merupakan antara tiga teratas penyumbang terbesar kepada ekonomi China dengan mencatatkan Keluaran Kasar Dalam Negeri (KDNK) sebanyak RMB8.31 trilion (RM5.48 trilion) pada tahun 2021.

Semasa lawatan, para wartawan dibawa ke tiga buah bandar iaitu Yantai, Weihai dan Qingdao bagi mengetahui dengan lebih mendalam berkenaan sejarah, pemandangan dan juga hasil pendapatan di wilayah tersebut.

Jika dibandingkan, bandar Weihai mempunyai pemandangan perairan yang lebih cantik dan tenang berbanding Yantai dan Qiangdao. Ia ditambah lagi dengan kincir angin yang menjadi sumber tenaga.

Meskipun menarik, orang ramai lebih memilih untuk bermandi-manda di Yantai kerana cuaca yang tidak sebegitu bahang walaupun dalam musim panas.

Ramai juga kelihatan berada di persisiran laut mencari siput untuk dijadikan hidangan makanan atau dijual.

Sementara di Weihai, terdapat banyak kawasan bersejarah yang menceritakan keadaan China pada zaman dahulu iaitu First World War Chinese Laborers Memorial Museum.

Terdapat juga warisan Budaya Weihei yang mana para wartawan merasai sendiri pengalaman, budaya dan pekerjaan yang dilakukan negara tersebut pada masa dahulu.

Berbeza pula keadaannya dengan Qingdao yang lebih moden. Kawasan itu juga dikenali sebagai pusat ekonomi utama di pantai timur China, bandar pelancongan, bandar pelabuhan antarabangsa dan bandar budaya bersejarah.

Apa yang penulis boleh simpulkan wilayah yang dilawati ini memang menarik untuk dikunjungi oleh para pelancong.

*Nazrin Zulkafli merupakan wartawan Sinar Harian yang kini sedang menyertai program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) di Beijing, China.