Tempoh naik taraf LTSIP dilanjutkan

Mustapa (dua dari kanan) melawat ke tapak projek bangunan Gunasama Jabatan Persekutuan di Pejabat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Tunjong, Kota Bharu.
Mustapa (dua dari kanan) melawat ke tapak projek bangunan Gunasama Jabatan Persekutuan di Pejabat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Tunjong, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan memberi tempoh masa lanjutan sebanyak 151 hari bagi meneruskan perlaksanaan pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang sebelum ini berstatus projek sakit di Pengkalan Chepa dekat sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, projek tersebut kembali dijalankan selepas mengalami kelewatan selama 104 hari sebelum ini.

Menurutnya, projek itu sekali gus kini bukan lagi berstatus projek sakit dan tempoh baharu dijangka siap pada September 2024.

“Sekarang projek LTSIP kembali ikut jadual kerana kerajaan meluluskan tambahan masa 151 hari.

“Setakat ini, status kemajuan yang dijadualkan sebanyak 11.63 peratus dicapai dan tidak lagi berstatus projek sakit,” katanya pada sidang akhbar semasa sesi taklimat dan lawatan ke tapak projek bangunan Gunasama Jabatan Persekutuan di Pejabat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Tunjong pada Ahad.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, satu lagi projek utama yang diberi perhatian pihaknya ialah pembinaan lebuh raya Kota Bharu ke Kuala Krai bagi pakej 2B dari Ketereh ke Kok Lanas kerana masih berstatus projek sakit.

“Pembinaan lebuh raya pakej 2B sepanjang 6.2 kilometer (km) itu masih lagi berstatus projek sakit kerana mengalami kelewatan lebih 300 hari termasuk isu kontraktor.

“Cadangan penyelesaian sedang dikaji oleh pihak kerajaan untuk menggerakkan semula projek ini,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, beliau berkata, fasa satu telah mencapai status kemajuan semasa sebanyak 81.26 peratus melebihi jadual yang ditetapkan 76.84 peratus.

“Fasa satu sedang berjalan dengan belanja RM656 juta manakala fasa dua melibatkan peruntukan kewangan RM879 juta dan sedang menunggu pelantikan kontraktor.

“Bagi perkembangan status semasa pembinaan Bangunan Gunasama Persekutuan dengan ketinggian lapan tingkat di Tunjong pula ia 4 peratus lebih awal dari jadual keseluruhan melibatkan kos pembinaan bernilai RM 470 juta,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 7 Ogos tahun ini, sebanyak 395 projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sudah diluluskan di Kelantan dengan kos keseluruhan RM20.9 bilion.