KKM digesa sedia vaksin influenza percuma kepada semua staf

Amir Hamzah (depan, tiga dari kanan) dan Hazarul Anan (depan, empat dari kiri) bersama ahli-ahli AUEGCAS Selangor selepas Bengkel Kepimpinan AUEGCAS Selangor dan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan AUEGCAS Selangor di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Amir Hamzah (depan, tiga dari kanan) dan Hazarul Anan (depan, empat dari kiri) bersama ahli-ahli AUEGCAS Selangor selepas Bengkel Kepimpinan AUEGCAS Selangor dan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan AUEGCAS Selangor di sebuah hotel di sini pada Ahad.
A
A
A
SHAH ALAM - Gabungan Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan-perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Malaysia menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan vaksin influenza secara percuma kepada semua kakitangannya tanpa sebarang diskriminasi.

Ini kerana sebahagian kakitangan dalam kumpulan pentadbiran dan sokongan di KKM mendakwa terpaksa mengeluarkan kos sendiri untuk mendapatkan suntikan vaksin influenza di klinik swasta dengan bayaran mencecah RM150 seorang.

Setiausaha Agung AUEGCAS Malaysia, Amir Hamzah Yakat Ali berkata, sekitar 2005 hingga 2006, semua kakitangan KKM termasuk kelompok berkenaan pernah mendapat suntikan vaksin influenza, namun kini ia hanya diberikan kepada petugas barisan hadapan, seolah-olah meminggirkan kumpulan badan pelaksana yang juga berdepan dengan orang awam.

"Ahli-ahli kami yang bertugas sebagai pembantu tadbir diletakkan di barisan hadapan dan belakang tidak diberikan suntikan. Kalau (hendak) ambil suntikan, dia perlu bayar sendiri dan kosnya mencecah RM150 seorang.

"Pada masa sama, kos tersebut tidak boleh dituntut oleh penerima vaksin tersebut.

"Ada sebahagian petugas barisan hadapan yang mendapat suntikan vaksin itu secara percuma," katanya kepada Sinar Harian selepas Bengkel Kepimpinan AUEGCAS Selangor dan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan AUEGCAS Selangor di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Sehubungan itu beliau berkata, isu berkenaan akan diusulkan kepada Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya dibawa kepada KKM untuk perbincangan.

"Kami berharap petugas barisan hadapan dan belakang termasuk kumpulan pelaksana di KKM diutamakan dan kemudahan perubatan itu juga perlu diperluaskan kepada semua kakitangan awam," katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, seramai 80 ahli AUEGCAS hadir ke Bengkel Kepimpinan AUEGCAS Selangor dan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan AUEGCAS Selangor yang turut menyediakan sesi ceramah yang dihadiri Pengerusi AUEGCAS Selangor, Hazarul Anan Muhd Shah Vijayan.

Ia turut menyaksikan pelantikan seramai 13 orang barisan kepimpinan dan Ahli Jawatankuasa (AJK) AUEGCAS Selangor untuk sesi 2022 hingga 2025.