Malaysia sedia latihan kemahiran bantu etnik Rohingya

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Malaysia akan membantu pelarian Myanmar khususnya etnik Rohingya untuk mengikuti latihan kemahiran bagi membolehkan warganegara itu mendapatkan pekerjaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu diambil berikutan negara memerlukan pekerja asing, namun tidak dapat diserap masuk dalam dunia pekerjaan kerana tidak mempunyai kemahiran.

Menurutnya, dengan memberikan latihan kemahiran kepada entik itu, majikan berpeluang menawarkan pekerjaan kepada mereka.

"Sekarang ini kita ada kekangan buruh daripada luar, kalau kita tengok banyak restoran, kilang dan sektor pembinaan kurang pekerja, namun begitu ada sebahagian majikan tidak bersedia ambil mereka (Rohingya) kerana tidak mempunyai kemahiran asas.

“Jadi, kita rancang program latihan kemahiran kepada mereka tertentu yang ingin bekerja. Kita lakukan ini atas dasar perikemanusiaan dengan membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Forum Pengundi Muda Penentu Masa Hadapan Negara Sempena Hari Belia Parlimen Indera Mahkota 2022 di sebuah hotel di Kuantan di sini pada Ahad.

Hadir sama,Presiden Majlis Belia Malaysia, Izzat Afifi Abdul Hamid.

Saifuddin berkata, bagi tujuan itu Malaysia akan mencari dana luar bagi menampung kos latihan kemahiran kepada pelarian Mnyamar.

"Setakat ini Yayasan Qatar telah menyumbang AS$50 juta yang mana AS$6 juta sudah dibelanjakan untuk hal ehwal kesihatan termasuk ketika pandemik Covid-19.

“Kita tidak akan sesekali menggunakan dana rakyat. Sebagai menteri saya melobi untuk mendapatkan dana daripada negara-negara lain.

"Saya beritahu perkara ini supaya rakyat Malaysia tidak gusar apabila Menteri Luar bercakap tentang pelarian di Malaysia, mereka juga mempunyai peluang bekerja dan pendidikan. Bantuan yang diberikan kepada mereka adalah sumbangan negara asing," tegasnya.