Motosikal peserta RXZ Members 4.0 dilarikan pencuri

Motosikal milik Mohamad Adib (kiri) dan motosikal Muhamad Nor Hafiz (kanan) yang dilarikan pencuri dalam kejadian awal pagi Ahad.
Motosikal milik Mohamad Adib (kiri) dan motosikal Muhamad Nor Hafiz (kanan) yang dilarikan pencuri dalam kejadian awal pagi Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua buah motosikal peserta program RXZ Members 4.0 yang diparkir di sebuah rumah inap di Kampung Pak Tijah di Kuala Nerus lesap dilarikan pencuri dalam kejadian awal pagi, pada Ahad.

Mangsa, Mohamad Adib Md Saleh, 31, yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur berkata, pencuri bertindak licik dengan mengunci pintu rumah inap dari luar dan memotong bahagian tepi pagar rumah berkenaan sebelum melarikan dua buah motosikal.

Katanya, dua motosikal termasuk milik rakannya, Muhamad Nor Hafiz Yahaya, 34, disedari hilang kira-kira jam 6 pagi tadi ketika ingin menunaikan solat subuh.

"Awal pagi tadi saya rasa tak sedap hati, saya intai ke luar rumah inap dan perasan motosikal saya sudah hilang. Bila nak buka pintu rumah, ketiga-tiga pintu depan, kiri dan kanan rumah tidak boleh dibuka kerana ia dikunci menggunakan kunci mangga dari luar rumah.

"Mungkin pencuri itu sudah merancang lebih awal, kami seramai sembilan orang terperangkap didalam rumah dan terpaksa menelefon bomba untuk buka kunci itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Ahad

Mohamad Adib berkata, dia bersama rakannya tiba di Terengganu pada awal pagi Jumaat lalu untuk menyertai himpunan RXZ Member 4.0 2022 di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak yang berlangsung pada Sabtu.

Katanya, konvoi mereka sepatutnya bergerak pulang ke Kuala Lumpur pagi Ahad kerana terdapat komitmen kerja yang perlu diselesaikan

"Pada mulanya kami merancang tidak tidur kerana mahu bergerak awal pagi ini. Tetapi disebabkan masing-masing letih dan mengantuk, kami tidur sekitar jam 3 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai langkah berjaga-jaga, pintu pagar homestay ini telah dikunci, tak sangka pula pencuri bertindak memotong bahagian tepi pagar. Pencuri itu turut meninggalkan sepasang selipar yang digunakan, " katanya.

Pagar rumah inap yang didiami konvoi peserta program RXZ Members 4.0 di Kampung Pak Tijah, di Kuala Nerus dipotong pencuri sebelum melarikan dua buah motosikal berkenaan.
Pagar rumah inap yang didiami konvoi peserta program RXZ Members 4.0 di Kampung Pak Tijah, di Kuala Nerus dipotong pencuri sebelum melarikan dua buah motosikal berkenaan.

Menurut Mohamad Adib, kehilangan motosikal itu amat dirasai kerana motosikal itu mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana banyak berjasa kepada dia sekeluarga.

"Motosikal itu sudah lama. Ia dibeli oleh ayah saya pada tahun 1991 dengan harga RM5,000 ketika itu. Selepas itu, ia digunakan oleh seorang demi seorang abang saya sebagai pengangkutan ke tempat kerja.

"Pada tahun 2000 abang saya menjual RXZ tersebut kerana tiada keperluan lagi untuk digunakan sehinggalah kami adik beradik terjumpa semula motosikal itu pada tahun 2021.

"Saya membelinya semula pada harga RM6,000 dan telah berhabisan RM25,000 untuk membaikinya semula dengan alat ganti asli.

"Saya rasa terkilan dan kecewa kerana RXZ itu adalah kesayangan kami sekeluarga sejak 31 tahun lalu. Kos untuk membaiki semula motosikal ini bukan murah kerana ada sesetengah alat ganti agak sukar diperoleh," katanya.

Mohd Adib berkata, laporan polis berhubung kehilangan motosikal itu belum dibuat dan dia bercadang untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu selepas beberapa urusan diselesaikan.

"Setakat ini saya masih buntu memikirkan kehilangan motosikal itu. Saya cuma telah membuat hebahan melalui grup RXZ di Facebook untuk meminta orang ramai mengesan kenderaan itu.

"Ada yang beritahu terima maklumat motosikal itu dilarikan ke Kelantan kerana ada yang ternampak motosikal itu dibawa melalui Kampung Raja di Besut dan tidak lama kemudian di Tok Bali, Kelantan.

"Saya harap ia dapat dijumpai secepat mungkin," katanya.