Bomba kenal pasti 50 lokasi hot spot dipasang LiSA

Mohammad Hamdan
Mohammad Hamdan
A
A
A

PENAMPANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti kira-kira 50 lokasi 'hot spot' berlakunya kejadian lemas untuk diletakkan Life Saving Appliances (LiSA) di seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, LiSA adalah satu inovasi yang dipasang di lokasi-lokasi hot spot yang dikenal pasti berisiko tinggi berlakunya kejadian lemas melebihi lima mangsa di tempat yang sama dalam tempoh tiga tahun.

"LiSA sudah mula dipasang di seluruh negara dan ada kira-kira 50 lokasi di mana statistik berdasarkan kematian di lokasi 'hot spot'," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Bakti Bomba dan Kempen Keselamatan Kebakaran di Balai Raya Kampung Terian, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama dalam program itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib dan Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian lemas membabitkan kepala air yang dilihat kerap berlaku sejak kebelakangan ini di seluruh negara termasuk di Sabah.

Menurutnya, ada kejadian lemas yang sukar dikenal pasti lokasi sebenar namun LiSA secara automatik akan mengeluarkan bunyi siren dan dalam masa yang sama menghantar Navigator Global Positioning System (GPS) kepada balai bomba yang terdekat.

"GPS ini kita boleh kenal pasti lokasi melalui Google Map dan bomba akan respons ke tempat itu dengan tepat.

"Ini sebenarnya inovasi hasil daripada bomba Kuala Lumpur dan di dalam peti itu mempunyai beberapa peralatan seperti jaket keselamatan dan asas-asas bagi menyelamatkan orang," katanya.

Mengulas program yang dihadirinya, beliau memaklumkan ia adalah sebagai salah satu khidmat komuniti yang cuba diperluaskan kepada orang ramai mengenai elemen menyelemat.

"Mereka di sini pun (komuniti Kampung Terian) ada juga sungai, jeram sebagai punca air dan sebagainya. Kita nak berikan pendekatan bagaimana cara mereka mencegah daripada berlakunya kelemasan dan menyelamatkan orang lain sekiranya berlaku.

"Segala elemen berkaitan keselamatan diri melalui kempen seperti ini banyak yang kita boleh berikan kepada masyarakat," katanya.