Leo A.W.S tokoh penyair Kelantan

No Image Caption
A
A
A

GAPENA baru-baru ini menobatkan penyair prolifik tanah air, Leo A.W.S sebagai Tokoh Penyair Negeri Kelantan 2022 sempena Hari Puisi Kebangsaan.

Leo A.W.S atau nama sebenarnya Abdul Waled@Suhaimi Semail dilahirkan pada 1 Ogos 1954 di Kampung Betong, Pasir Mas, Kelantan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pasir Mas sebelum menjejaki Sekolah Menengah Lemal dan Sekolah Menengah Ismail Petra, Kota Bharu. Kemudian menyambung pelajaran ke Universiti Malaya sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Pengajian Sejarah pada tahun 1978.

Pesara guru ini pernah berkhidmat di Sarawak (1979-1983) serta di negeri asalnya, Kelantan juga dikenali seorang pelukis dan penulis berbakat. Namun minat Leo A.W.S lebih terjurus kepada puisi. Lantaran itulah, dunia penulisannya bermula dengan sajak. Puisi pertamanya berjudul Sajak Cinta Kepada Ida disiarkan dalam majalah Kisah Cinta, September 1976.

Sejak itu puisi-puisinya sering mendapat tempat di persada sastera akhbar dan majalah tanah air. Antara media cetak yang pernah menyiarkan sajak-sajak Leo A.W.S ialah Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Utusan Zaman, Mastika, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Watan, Nona, Variasari, Sarina dan sebagainya.

Leo A.W.S dipercayai telah berjaya menukang seribu kuntum puisi yang tersiar di pelbagai media cetak tempatan serta termuat dalam puluhan antologi persendiriannya.

Beberapa kuntum sajaknya termuat dalam antologi yang penulis selenggarakan seperti Suara Kita Seribu Sajak Merdeka (2013), Ipoh Bandar Raya Gunung (2016), Taiping Bandar Tua Perak (2016) dan Pangkor Pekan di Selat Dinding (2016).

Setelah hampir lima dekad bergelumang dengan dunia kecintaannya, kesan ketara puisi yang dicipta Leo A.W.S banyak berdasarkan pengalaman serta pengamatan dan digarap dengan kata-kata sederhana yang mengandungi mesej tanpa mengkesampingkan unsur-unsur puisi serta mengabaikan strukturulisme.

Hakikatnya, gaya penulisan puisi adalah beragam. Ada penyair mementingkan rangkap yang mengandungi beberapa baris ayat. Ada pula memaparkan gaya bebas sehingga baris ayatnya tidak terkawal.

Cerpuisi

Namun, tokoh penyair Kelantan ini menangani penciptaan sajak berasaskan cerita dan ditulis secara prosaik yang mengandungi unsur-unsur puisi. Ini gaya tersendirinya. Mohd Abdullah atau Hilmi Rindu menamakan gaya tersebut sebagai cerpuisi akronim daripada perkataan cerita dan puisi. Cerpuisi sekiranya diperluaskan, ada kemungkinan dapat mendekatkan khalayak bukan sastera mengintimkan diri dengan puisi. Ia mampu dihayati secara singkat tanpa merujuk/memikirkan perlambangan tertentu malah menelurkan fahaman jitu.

Namun, garapan cerpuisi wajar tidak mengkesampingkan hukum-hakam yang afdal bagi menimbulkan unsur-unsur estetika sesebuah puisi. Konsep estetika menurut teori Estetika Bersepadu binaan Profesor A Halim Ali (UPSI) harus diserapkan keindahan terhadap penciptaan agung, ALLAH SWT bukan hanya bersandarkan kepada bahasa, tema dan teknik penulisan.

Bertolak daripada penelitian inilah, Leo A.W.S dilihat sebagai penyair yang rajin menukangi cerpuisi lewat beberapa karyanya yang sempat memasuki jaring pembicaraan. Lihat puisi Di Sungai Padi, Narathiwat – Seru Sang Angin, 1972 hlm. 74, Leo A.W.S memperlihatkan bentuk cerpuisi yang menjadi jati diri gaya penulisannya:

Memasuki pekanmu, pekan yang

tua; gudang-gudang kayu tersergam

sunyi. hujan pun turun lebat

di tengah jalan. bukit-bukau sekitar

dan jauh jadi kelabu, mendekat di mata.

Penyair menceritakan alam sekitar ketika dia tiba di Narathiwat dengan pengucapan mudah difahami. Namun, tersemat beberapa unsur puisi seperti enjambement (memutuskan baris-baris puisi dan disambungkan pada baris berikutnya) serta metafora. Seterusnya Leo A.W.S berkata:

Kereta membelok, memasuki lorong

rumahmu, dekat masjid, dìlihat,

senja merah. jadikan sajak! katamu.

selepas hujan, aku pun

keluar di lorong-lorong;

tanah kuning basah di antara

deretan kedai-kedai tua

Penyair menggunakan kata bual dalam puisi ini membuktikan wujudnya ciri-ciri cerpuisi di samping menerapkan perkataan abstrak seperti senja merah yang memberi pengertian sudah sampai ke penghujung destinasi. Lihat pula rangkap ketiga, penyair cuba mengutarakan mesej yang tersembunyi (instrinsik manipulatif) di sebalik kata-kata sederhana itu.

Aku menghirup udara dingin

sambil dilihat oleh orang-orang

di kedai itu. diam-diam kulihat

diri sendiri: di sini usiaku

genap 35 tahun. diam-diam pula

terasa usiaku semakin genap pada hak-Nya.

Dapat diandaikan, pelukisan panorama Narathiwat yang muram, sunyi serta memiliki kedai-kedai tua dengan disulami waktu senja adalah melambangkan ketuaan.

Penyair sebenarnya ingin menyampaikan mesej betapa dirinya mula beransur tua wajarlah menyiapkan bekalan; mengumpul sebanyak mungkin saham akhirat. Hal ini jelas disokong dengan ungkapan ‘memasuki lorong rumahmu, dekat masjid serta usiaku semakin genap pada hak-Nya’.

Aliran baharu

Dalam sejarah sajak tanah air, jarang dilihat penyair tempatan menangani cerpuisi – satu aliran baharu selain Leo A.W.S. Namun ramai sarjana sastera beranggapan, corak begini tidak serasi dengan perkembangan dunia puisi moden itu sendiri.

Mereka lebih menyenangi sajak abstrak yang mengandungi pelbagai tafsiran sebagai bermutu manakala pada khalayak cerpuisi lebih mengesankan kerana maksudnya jelas.

Lihatlah sajak-sajak tersohor seperti Di Makam Bonda, Bunga Popi, Merpati Putih, Jelajahilah Dunia Ini karya SN Usman Awang yang masih diingati ramai meskipun puisi itu telah berusia hampir lima atau enam dekad.

Mengapa puisi-puisi berkenaan diminati? Jawabnya, ia tidak abstrak tetapi dekat di hati pembaca.

Menyedari hakikat inilah, barangkali Leo A.W.S mengintimkan penanya dengan cerpuisi. Cerpuisi adalah alternatif bagi menangani kemelut tersebut Sebenarnya, Leo A.W.S mengambil jalan tengah. Dalam arus sastera negara yang kian mekar, sesuatu aliran baharu wajar. Kita tidak perlu menceduk aliran dari Barat atau mana-mana benua tetapi sebaliknya cubalah menimba yang jernih di bumi tercinta ini.

Permata di lembah itu perlu digilap agar sinarannya mampu menyinari persada sastera. Tahniah Leo A.W.S!

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)