7.8 juta pengundi baharu menjelang PRU15: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul (tiga dari kanan) menyampaikan sijil dan geran bantuan pentadbiran belia Anugerah Perdana Belian Negara pada Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Selangor pada Sabtu.
Tengku Zafrul (tiga dari kanan) menyampaikan sijil dan geran bantuan pentadbiran belia Anugerah Perdana Belian Negara pada Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Selangor pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sebanyak 7.8 juta pengundi baharu bakal bertambah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan daripada jumlah itu 3.8 juta mewakili golongan muda berusia 18 tahun.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pertambahan itu menunjukkan jumlah pengundi baharu mewakili 34 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi.

"Dalam kata lain, tiga daripada 10 pengundi ialah pengundi baharu dan kehadiran pengundi ini mampu mengubah senario politik semasa jika semua pengundi tersebut keluar mengundi semasa pilihan raya yang akan datang," katanya ketika berucap semasa Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Selangor pada Sabtu.

Tengku Zafrul berkata, kuasa Undi 18 pada PRU15 membolehkan golongan muda diberi peluang untuk terlibat secara aktif dalam politik seterusnya membuat keputusan mengenai masa depan negara.

Tambahnya, lebih ramai golongan belia selepas ini boleh menjadi pemimpin sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.

Malah, jelas beliau, perlaksanaan Undi 18 juga mampu melahirkan bakal pemimpin yang matang dan berkualiti.

"Bercakap mengenai Undi 18, kematangan seseorang tidak boleh diukur dari segi usia, sebaliknya ia boleh ditampilkan melalui perilaku dan cara berfikir.

"Atas faktor itu, hak mengundi telah diturunkan kepada individu yang telah pun mencapai umur 18 tahun kerana mereka mampu menyumbang kepada sosioekonomi masyarakat dan bertanggungjawab penuh kepada diri sendiri," katanya.

Jelas Tengku Zafrul, anak muda di negara ini hanya mahukan keadilan saksama untuk semua.

Ujar beliau, penurunan umur minimum mengundi dilihat mampu memberi lebih masa kepada golongan muda mendekati dan mendalami arena politik dan kepimpinan negara.

"Apabila terdapat ramai wakil golongan muda dalam arena politik sudah tentulah suara generasi muda ini akan lebih didengari," jelas beliau.

Katanya, meskipun terdapat pihak yang ragu-ragu dengan kemampuan golongan muda, tetapi peluang Undi 18 dilihat sebagai jalan terbaik untuk negara melahirkan bakal pemimpin berkaliber pada masa depan.

Selain itu, katanya, kebolehan memperoleh pelbagai maklumat di hujung jari menjadikan golongan muda lebih terbuka dalam membuat keputusan.

"Sebenarnya semakin awal golongan muda diberikan hak untuk terlibat di dalam proses pembuatan keputusan, maka semakin cepat jugalah mereka bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin," kata beliau.

"Undi 18 juga mampu mengubah gaya politik tradisional iaitu golongan muda harus membuktikan mereka mampu menawarkan wadah baharu politik yang lebih segar," jelasnya.