Penjual besi buruk rayu bantu anak hidap kanser paru-paru

Mohd Amirul menggunakan kerusi roda bersama bapa tirinya, Mohd Afrizal.
Mohd Amirul menggunakan kerusi roda bersama bapa tirinya, Mohd Afrizal.
A
A
A

MELAKA - Tiada apa yang lebih menyedihkan bagi seorang wanita apabila mengetahui anak sulungnya berusia 17 tahun disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Lebih memilukan, kanser yang dihadapi pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu, Mohd Amirul Ridhuan telah merebak hingga ke tulang.

Suri rumah, Siti Norlina Mohd Rashid,36, berkata, setiap hari dia berasa sedih mengenangkan keadaan anaknya itu yang kerap mengerang kesakitan.

Menurutnya, disebabkan itu juga dia yang baru melahirkan anak kelima minggu lalu terpaksa melupakan hasrat berpantang kerana terpaksa berulang-alik ke hospital demi memastikan anaknya kembali sihat.

Katanya, dia buntu memikirkan anaknya yang perlu menjalani pembedahan segera bagi mengelakkan lutut kaki kirinya rosak dan boleh menyebabkannya lumpuh.

"Anak sulung disahkan menghidap kanser pada pertengahan tahun lalu apabila dia kerap mengadu sakit kaki.

"Sejak itu kami terpaksa berulang-alik mendapatkan rawatan di Hospital Melaka," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Padang Semabok, Semabok di sini pada Sabtu.

Tambahnya, doktor memberitahu kanser itu telah merebak ke tulang kaki kiri menyebabkan ia berlubang hinggakan anaknya sukar untuk bergerak.

"Sekarang anak terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda dan kerap tidak hadir ke sekolah," katanya.

Mohd Noor Helmy (kiri) ketika melawat keluarga Siti Norlina (kanan) di Kampung Padang Semabok, pada Sabtu.
Mohd Noor Helmy (kiri) ketika melawat keluarga Siti Norlina (kanan) di Kampung Padang Semabok, pada Sabtu.

Suaminya, Mohd Afrizal Zainuddin, 40, berkata, meskipun Mohd Amirul adalah anak tirinya namun dia tidak pernah membezakan dengan empat orang anak yang lain.

Mohd Afrizal yang bekerja menjual besi buruk dan barangan terpakai berkata, adakalanya pendapatannya tidak mencukupi untuk menampung keluarga lebih-lebih lagi bilangan ahli keluarga telah bertambah.

"Selagi ada kudrat saya akan terus mencari rezeki dengan menjual besi buruk dan membuat kerja-kerja kampung atau ambil upah kait sawit demi menyara isteri dan anak-anak," katanya yang memperoleh pendapatan sekitar RM900 hingga RM1,200 sebulan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang turut melawat keluarga itu berkata, mereka sekeluarga sentiasa dalam keperihatinan pihaknya dan akan membantu untuk mendapatkan bantuan bulanan di bawah Kebajikan Masyarakat Melaka (JKM).

"Saya akan meminta bantuan JKM datang sekali lagi ke rumah keluarga itu bagi mempertimbangkan bantuan berbentuk bulanan dan bukannya sekadar one-off agar dapat meringankan beban keluarga ini yang diuji dengan anak yang sakit," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya melalui akaun Maybank 154138061639 Siti Norlina Mohd Rashid.