Pukul pelajar tahfiz, tindakan tak masuk akal

Kenyataan Rahman yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Sabtu.
Kenyataan Rahman yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Sabtu.
A
A
A

LIPIS - Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad kesal dan menyifatkan tindakan pelaku mencederakan tenaga pengajar dan pelajar di sebuah pusat tahfiz di daerah ini tidak boleh diterima akal.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1 berkata sedemikian berikutan rakaman insiden beberapa pelajar tahfiz dipukul tular di media sosial pada Khamis.

"Mencederakan anak-anak yang sedang menuntut ilmu, di madrasah, tanpa ada rasa hormat, bagi saya perkara sebegini langsung tak boleh diterima akal.

"Tiada kompromi dalam isu ini, saya akan pastikan si pelaku mendapat hukuman setimpal. Untuk makluman, semua kelima-lima pelaku telahpun ditangkap dan akan dituduh dalam masa terdekat.

"Saya tidak akan sesekali memberi ruang kepada tindakan yang menyalahi etika kemanusiaan dan undang-undang. Lebih-lebih lagi berlaku di Lipis. Orang duk Lepeh baik-baik belaka," katanya dalam status yang dimuat naik di laman Facebook miliknya pada Sabtu.

Abdul Rahman berkata, selepas konvoi Kembara Merdeka di daerah itu, beliau bergegas ke pusat tahfiz tersebut selain telah meminta pihak polis membuat siasatan terperinci mengenai kes tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga meminta warga pusat tahfiz itu tidak patah semangat dalam usaha untuk bangunkan tahfiz.

"Ini perjuangan kita untuk agama. Saya percaya semua yang beragama Islam juga merasakan yang sama. Semoga ALLAH SWT merahmati dan melindungi perjuangan ini," katanya.

Sementara itu, beliau juga menyumbangkan RM10,000 kepada pusat tahfiz berkenaan dan berharap mereka dapat bangkit semula selepas kejadian yang berlaku.

Sebelum itu, dua buah klip video berdurasi 57 dan 33 saat tular di media sosial memaparkan beberapa lelaki memukul tenaga pengajar dan pelajar di sebuah pusat tahfiz di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dua pekerja bengkel kimpalan ditahan pada Jumaat dan tiga lagi suspek telah dikenal pasti dan tangkapan akan dibuat secepat mungkin.