Ringgit ditutup tinggi bagi hari keempat

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari keempat berturut-turut pada Jumaat. - Gambar hiasan
Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari keempat berturut-turut pada Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGITditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari keempat berturut-turut pada Jumaat, susulan sentimen bertambah baik setelah didorong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus bagi suku kedua 2022, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4435/4455 berbanding dolar AS daripada 4.4445/4460 semasa penutupan pada Khamis.

Peniaga berkata, sentimen dalam pasaran bertambah baik selepas Malaysia melaporkan pertumbuhan KDNK suku kedua yang mengatasi prestasi ekonomi beberapa negara maju dan serantau seperti China (0.4 peratus) dan Amerika Syarikat (1.6 peratus).

"Ini meningkatkan keyakinan dalam pasaran selepas Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia mencatatkan lonjakan seperti diumumkan awal minggu ini,” kata beliau.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, ringgit kekal stabil berbanding mata wang rakan dagang utama Malaysia walaupun unit tempatan menghadapi persekitaran dolar AS yang lebih kukuh.

"Pada suku kedua, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit berada pada susut nilai marginal 0.1 peratus. Kita tidak boleh menjadi lebih kukuh daripada rakan dagang utama kita kerana keadaan itu akan menjejaskan daya saing kita, dan semua mata wang lain adalah lebih lemah berbanding dolar AS,” katanya semasa sidang media bersama Jabatan Perangkaan Malaysia di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, ringgit ditutup tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2406/2428 daripada 3.2456/2469 dan naik berbanding pound British kepada 5.3975/3999 daripada 5.4307/4326.

Artikel Berkaitan:

Ringgit lebih kukuh berbanding yen Jepun kepada 3.3292/3310 daripada 3.3516/3529 pada Khamis dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.5759/5780 daripada 4.5934/5949 pada penutupan semalam. - Bernama