Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS tiga hari berturut

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS untuk hari ketiga berturut-turut disebabkan minat risiko yang tinggi dalam pasaran. - Gambar hiasan
Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS untuk hari ketiga berturut-turut disebabkan minat risiko yang tinggi dalam pasaran. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar AS untuk hari ketiga berturut-turut disebabkan minat risiko yang tinggi dalam pasaran dirangsang oleh data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang lebih rendah daripada jangkaan, manakala lonjakan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia baru-baru ini meningkatkan keyakinan dalam pasaran.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4445/4460 berbanding dolar AS daripada 4.4545/4570, pada Rabu.

Peniaga berkata, pelabur bertindak balas berikutan wujudnya kecenderungan untuk melonggarkan dasar monetari selepas data IHP AS dikeluarkan dan kadar yang ditetapkan untuk mesyuarat Rizab Persekutuan pada September, akan condong ke arah kenaikan 50 mata asas (bps) berbanding 75 mata asas.

"Pasaran Asia boleh menyaksikan permintaan bagi ekuiti disokong oleh dolar yang lebih lemah," tambahnya.

Beliau menyatakan bahawa pelabur telah menunjukkan minat terhadap Bursa Malaysia, yang seterusnya meningkatkan permintaan terhadap ringgit.

Indeks penanda aras mencecah dan kekal di atas paras psikologi 1,500 dan mengakhiri dagangan pada paras tertinggi hariannya pada 1,505.56 berbanding 1,492.33 semalam.

Sementara itu, ringgit ditutup rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2456/2469 daripada 3.2333/2356 dan merosot berbanding pound kepada 5.4307/4326 daripada 5.3828/3858 sebelumnya.

Mata wang tempatan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.3516/3529 daripada 3.3004/3025 pada Rabu dan susut berbanding euro kepada 4.5934/5949 daripada 4.5547/5573 pada semalam. - Bernama