LCS: Pihak luar tiada kepentingan jangan campur tangan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyemak aduan dikemukakan penduduk sempena program Hari Bertemu Rakyat DUN Kota Tampan di Dataran Tasik Raban, Lenggong pada Jumaat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyemak aduan dikemukakan penduduk sempena program Hari Bertemu Rakyat DUN Kota Tampan di Dataran Tasik Raban, Lenggong pada Jumaat.
A
A
A

LENGGONG - Pihak luar yang tiada kepentingan disarankan tidak campur tangan berhubung skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, isu itu diheret berpanjangan apabila ada campur tangan dan kenyataan-kenyataan dikeluarkan individu lain terutama mereka yang tidak terbabit dalam urusan berkenaan.

Menurutnya, ketika ini telah banyak kenyataan rasmi dikeluarkan bagi menjelaskan perkara itu dan sewajarnya orang ramai yakin penjelasan diberikan.

"Orang ramai yang tiada kena mengena, saya nasihatkan supaya jangan campur tangan.

"Jangan campur aduk, jangan tambah garam dan mencurah cuka ke dalam luka.

"Sebab sudah ada beberapa pandangan telah diberikan oleh mereka yang berwibawa termasuklah bekas Panglima Tentera Laut, (Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar), itu semua kenyataan rasmi. Jadi, sewajarnya kita tidak terlibat dengan isu itu," katanya ketika ditemui pemberita dalam program Hari Bertemu Rakyat DUN Kota Tampan di Dataran Tasik Raban di sini, pada Jumaat.

Saarani berkata, isu membabitkan LCS dilihat telah digunakan sebagai peluru politik oleh sebahagian pemimpin parti untuk menghukum UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, keadaan itu tidak adil kepada UMNO dan BN sedangkan kedudukan sebenar masih belum dapat dibuktikan.

"Dalam tempoh sebulan dua sebelum PRU (pilihan raya umum) ini, didapati tohmahan dibuat itu tidak betul. Saya tengok kenyataan dibuat pihak yang berwibawa menunjukkan masalah itu tidak ada kena mengena dengan kita.

"Jadi tidak 'cantik' bila orang ramai menghukum UMNO walaupun akhirnya nanti UMNO tidak bersalah.

"Perdana Menteri dan kabinet sudah buat keputusan untuk 'transparent' mengenai laporan kes itu. Jadi, kalau nak menghukum, jangan hukum UMNO, sebaliknya orang yang membuat salah itu," katanya.

Kabinet pada Rabu memutuskan untuk menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan terhadap projek LCS TLDM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memberi jaminan siasatan berhubung isu berkenaan dijalankan dengan telus, bahkan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa yang terlibat.

Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang juga dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.