Pelaburan Google dalam wilayah awan di Malaysia bersifat signifikan

Malaysia sertai 34 wilayah awan Google yang sedang beroperasi di seluruh dunia. - Gambar hiasan/AFP
Malaysia sertai 34 wilayah awan Google yang sedang beroperasi di seluruh dunia. - Gambar hiasan/AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan menyertai 34 wilayah awan Google yang sedang beroperasi di seluruh dunia, pelaburan yang menurut Google Cloud akan menjadi yang paling signifikan di negara ini.

Pengarah Urusan Google Cloud (Asia Tenggara) Ruma Balasubramanian tidak dapat mendedahkan nilai pelaburan tetapi berkata, ia merangkumi pusat data, perkakasan/perisian serta kepakaran.

"Infrastruktur akan dibina di Malaysia. Kami masih dalam proses mencari lokasi. Kami akan berkongsi dengan anda secepat mungkin.

"Kami telah mengumumkan tiga kawasan awan tambahan di seluruh Asia Pasifik minggu ini. Satu daripadanya di Malaysia, dua lagi akan berada di Thailand dan New Zealand," katanya kepada pemberita sempena majlis pengumuman wilayah awan Google Malaysia di sini, pada Jumaat.

Beliau ketika mengulas mengenai keputusan kumpulan berkenaan untuk melabur di Malaysia memberitahu negara ini telah bangkit daripada pandemik sehingga menonjolkan potensi untuk menjadi negara yang berdaya saing secara digital dengan lapan daripada 10 rakyat Malaysia kini menggunakan perkhidmatan digital atau merancang berbuat demikian pada masa akan datang.

Oleh itu, transformasi digital telah menjadi keperluan strategik bagi setiap perniagaan yang ingin kekal maju. Beliau berkata ekonomi digital Malaysia dijangka bernilai AS$35 bilion.

Malaysia juga terletak dalam ekosistem Asia Tenggara yang sangat mantap, yang mana ekonomi digital rantau ini dijangka mencecah US$363 bilion dan menjelang akhir dekad boleh pergi kepada AS$1 trilion.

Faktor utama kedua serta yang sangat penting bagi kumpulan, adalah sokongan dasar kerajaan.

Ketiga, Google Cloud mahu membantu Malaysia memenuhi potensinya untuk menjadi salah satu negara yang paling berdaya saing secara digital di dunia.

"Google telah banyak melabur dalam infrastruktur Teknologi Maklumatnya sendiri. Dengan menawarkan tahap keselamatan, skalabiliti serta kebolehpercayaan yang sama kepada perusahaan, kami menyediakan kaedah yang lebih mudah, cepat dan lebih menjimatkan kos untuk pelbagai saiz organisasi ke arah mencapai hasil yang mereka inginkan," katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam mesej video berkata, penyedia perkhidmatan awan seperti Google Cloud boleh memainkan peranan penting untuk mempercepatkan pelaksanaan rangka tindakan MyDigital.

Dijangkakan bahawa teknologi awan akan menjadi salah satu pemboleh utama dalam merealisasikan aspirasi digital negara dan mengubahnya menjadi ekonomi digital terkemuka menjelang 2030.

Beliau berkata kejayaan sesuatu transformasi digital memerlukan kerjasama daripada kerajaan, swasta, akademik serta semua lapisan masyarakat.

Pengumuman Google Cloud mencerminkan pendekatan perkongsian sektor swasta-awam negara yang mempunyai kaitan dengan pelaburan berkualiti tinggi dalam infrastruktur digital di negara ini; Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran RM70 bilion menjelang 2025, katanya.

"Setelah mengumumkan pelaburan infrastruktur yang paling penting di Malaysia setakat ini serta bagi melengkapkan perkongsian dan program sedia ada, saya berharap dapat menyaksikan seterusnya bagaimana teknologi awan Google dan keupayaan inovasi mempercepatkan transformasi di sektor utama.

"Kami menggalakkan perniagaan tradisional daripada semua saiz, contohnya, sektor runcit, pembuatan, media serta hiburan, pendidikan dan penjagaan kesihatan untuk memanfaatkan pemboleh seperti Google Cloud bagi meningkatkan kecekapan operasi termasuk merebut peluang pertumbuhan domestik dan antarabangsa yang baharu," katanya. - Bernama