Keputusan tidak kuatkuasakan GDL legakan penunggang p-hailing

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk tidak menguatkuasakan lesen memandu vokasional (GDL) sebaliknya hanya akan memperkenalkan sistem khas nyata memberikan kelegaan kepada penghantar dan penunggang p-hailing

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan yang dicapai itu juga merupakan perjuangan Pemuda UMNO yang turut sama melakukan perbincangan dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong baru-baru ini.

"Keputusan GDL tidak dikuatkuasa, melegakan begitu ramai penunggang p-hailing. Perjuangan #Pemuda #UMNO yang membantu akhirnya berhasil," katanya di laman sosial Facebooknya pada Jumaat.

Dalam satu sidang media khas pada Isnin lalu, Ka Siong memaklumkan Rang Undang-Undang pindaan terhadap tiga peruntukan undang-undang pengangkutan jalan yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang bakal menyaksikan penunggang perkhidmatan p-hailing diwajibkan memiliki lesen GDL.

Beliau dilaporkan berkata, melalui pindaan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), had usia untuk penunggang perkhidmatan penghantaran makanan itu daripada mendapatkan lesen memandu vokasional diturunkan daripada tidak kurang 21 tahun kepada tidak kurang 18 tahun.

Ia mengundang reaksi kurang senang daripada penunggang p-hailing yang menyifatkan langkah kerajaan untuk mewajibkan memiliki lesen GDL akan membebankan mereka.

Persatuan p-hailing dan Pemuda UMNO melakukan perbincangan dengan Ka Siong baru-baru ini dan beliau memberi jaminan tiada lesen GDL akan dikuatkuasakan ke atas penunggang p-hailing.

Sebaliknya, kerajaan hanya akan memperkenalkan sistem khas untuk mendaftarkan penghantar p-hailing bagi membolehkan kebajikan dan keadilan mereka diberi perhatian.