Mereka bukan penduduk Bertam

Kumpulan yang mengadakan demonstrasi menyokong projek PTP pada 5 Ogos lalu di Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Utara didakwa bukan dalam kalangan penduduk Bertam.
Kumpulan yang mengadakan demonstrasi menyokong projek PTP pada 5 Ogos lalu di Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Utara didakwa bukan dalam kalangan penduduk Bertam.
A
A
A

KEPALA BATAS - Jawatankuasa Bertindak Membantah Pembinaan Taman Perindustrian dan Asrama Pekerja di Bertam mempersoalkan demonstrasi menyokong projek Taman Teknologi Penang (PTP) yang dilakukan 5 Ogos lalu di Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Utara.

Pengerusinya, Dr Mohamad Sukeri Khalid berkata, individu yang mengetuai demonstrasi dan penyerahan memorandum kepada Pegawai Daerah Seberang Perai Utara tersebut bukanlah penduduk tempatan sebaliknya tinggal di luar kawasan Bertam dan Kepala Batas.

Menurutnya, majoriti peserta demonstrasi yang hadir pada hari tersebut merupakan warga emas yang tidak dikenali dan usaha mereka menuntut projek PTP dilaksanakan bagi memberikan peluang pekerjaan dilihat agak aneh.

"Kami tidak melihat bagaimana PTP mampu memberi manfaat kepada majoriti warga emas terbabit kerana pihak pemaju mendakwa PTP hanya memerlukan tenaga pekerja muda yang berkemahiran tinggi sahaja.

"Projek PTP ini dikatakan bakal menjadi taman perindustrian berteknologi tinggi yang berasaskan revolusi perindustrian keempat dan tidak bergantung kepada buruh kasar yang kemahiran rendah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan adakah wujud tangan-tangan ghaib di belakang peserta demonstrasi terbabit bagi memperlihatkan sokongan awam terhadap PTP untuk meyakinkan pihak pelabur dan pihak bank untuk memberikan pinjaman kepada para pembeli lot industri di PTP yang masih di peringkat kelulusan?

Katanya, dakwaan kawasan Bertam kurang peluang pekerja juga tidak munasabah kerana terdapat laporan menyatakan bahawa kadar pengangguran di sini adalah rendah iaitu purata 3.2 peratus bagi Pulau Pinang seperti yang dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun 2021.

"Sehingga kini tidak pernah kedengaran suara penduduk tempatan menagih peluang pekerjaan di kawasan Bertam.

"Ini kerana kawasan Bertam telah terkenal dengan kawasan perumahan terancang dan hub pendidikan yang cukup memadai dalam menyediakan peluang pekerjaan termasuk menyediakan suasana selesa dan kemudahan kepada penduduk tempatan,"katanya.

Mohamad Sukeri berkata, pembinaan kawasan perindustrian berskala besar hanya akan mengakibatkan risiko pencemaran alam sekitar dan mempercepatkan pertumbuhan kesesakan trafik yang ekstrim di kawasan ini.

Tambahnya, kepadatan penduduk di Bertam yang tinggi serta jarak kawasan kediaman yang terlalu hampir dengan tapak industri akan mengundang kesan yang sangat buruk terhadap aspek kesihatan dan keselamatan penduduk setempat.

"Untuk rekod, Pertubuhan Lestari Khazanah Alam (LEKAS), bersama-sama jawatankuasa bertindak dan Gabungan Komuniti Bertam Putra telah melancarkan petisyen bantahan terhadap cadangan projek tersebut secara bertulis bermula pada Julai lalu.

"Pihak kami telah berjaya mengumpulkan 1,662 tandatangan penduduk Bertam yang membantah keras cadangan projek taman perindustrian tersebut.

"Petisyen bantahan bertulis tersebut kami telah diserahkan kepada pihak Datuk Bandar MBSP, Pengarah Jabatan Alam Sekitar dan Pengarah PLAN Malaysia," jelasnya.