KKR teliti risiko Lebuhraya Timur Barat

Fadillah (dua dari kiri) semasa melawat tapak pembinaan Jejambat Wakaf Bharu, Tumpat, pada Jumaat.
Fadillah (dua dari kiri) semasa melawat tapak pembinaan Jejambat Wakaf Bharu, Tumpat, pada Jumaat.
A
A
A

TUMPAT - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melakukan penelitian daripada semua aspek berkaitan keadaan jalan di Lebuhraya Timur Barat dari Jeli, Kelantan ke Gerik, Perak yang didakwa berisiko tinggi kepada pengguna.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu diambil susulan pelbagai dakwaan terhadap keadaan jalan tersebut yang dikatakan berbahaya dan berisiko mengundang kemalangan maut.

“Lebuhraya Timur Barat menjadi salah satu isu di media sosial dan hari ini kami di peringkat tertinggi akan pergi memantau sendiri dan melihat perkara yang boleh kita laksanakan untuk menambah baik keadaan jalan.

“Kita perlu mengesahkan aduan itu berasas dan jika betul, kita boleh ambil tindakan untuk penambahbaikan sepanjang jalan tersebut,” katanya pada sidang akhbar ketika ditemui pada hari kedua Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 di tapak pembinaan Jejambat Wakaf Bharu di sini pada Jumaat.

Fadillah berkata, KKR mengalami cabaran sama di jalan di Lojing berikutan bentuk muka bumi yang sering berlaku runtuhan tebing dan curam.

“Kita perlu kenal pastikan langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko runtuhan tebing dan cerun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian itu juga akan mengunjungi Thailand pada bulan ini untuk melihat penyelesaian perancangan pembinaan Jambatan Muhibah yang akan menghubungkan Malaysia dengan negara terbabit.

“Perancangan untuk Rantau Panjang dengan sempadan Thailand ialah pembinaan jambatan dan peringkat kerajaan Malaysia, kita melihat perancangan pembinaan jambatan tersebut di Rantau Panjang manakala di peringkat Thailand pula di Tak Bai.

“Jadi, kami akan ke Thailand untuk melihat di mana keutamaan untuk kita selesaikan pembinaan jambatan yang akan menghubungkan antara dua negara dengan lebih baik,” katanya.