RM6.4 bilion biaya 54 projek infrastruktur di Kelantan

Fadillah (depan, dua dari kanan) melawat tapak pembinaan Jejambat Wakaf Bharu, Tumpat, pada Jumaat.
Fadillah (depan, dua dari kanan) melawat tapak pembinaan Jejambat Wakaf Bharu, Tumpat, pada Jumaat.
A
A
A

TUMPAT - Kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya sehingga kini membelanjakan RM6.4 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi melaksanakan 54 projek pembangunan infrastruktur dan bangunan di negeri ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek pembangunan itu termasuk pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR), Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, Jejambat Wakaf Bharu, Tumpat yang masih dalam pembinaan dan projek menaik taraf Jalan Jeli - Kampung Reka Luar, Kuala Balah, Dabong, Jeli.

Selain itu katanya, projek-projek pasca banjir yang melibatkan kerosakan seperti jambatan dan cerun-cerun di negeri itu pula sudah siap dibaik pulih.

“Lebuhraya Central Spine Road (CSR) yang sedang dibina memerlukan perhatian disebabkan cabaran dalam pelaksanaan kontrak daripada segi pekerja dan kenaikan kos barangan serta berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Keseluruhan projek yang dilaksanakan di Kelantan menerusi Kementerian Kerja Raya bersama-sama beberapa kementerian lain adalah berjumlah RM6.4 bilion merangkumi 54 projek infra dan bangunan,” katanya pada sidang akhbar ketika ditemui pada hari kedua Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 di tapak pembinaan Jejambat Wakaf Bharu di sini pada Jumaat.

Fadillah (dua dari kiri) melihat gambar rajah pembinaan Jejambat Wakaf Bharu di Tumpat.
Fadillah (dua dari kiri) melihat gambar rajah pembinaan Jejambat Wakaf Bharu di Tumpat.

Beliau berkata, projek pembinaan jejambat yang menelan kos keseluruhan RM105.5 juta itu antara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Kelantan khususnya di daerah Tumpat kerana dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dihadapi.

“Pembinaan jejambat dari arah Kota Bharu merentangi bulatan Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 1.56 kilometer (km) bermula di KM4.25 dan berakhir di KM6.06.

“Projek bermula pada Februari 2018 dan status semasa mencapai 89.38 peratus pembinaan. Ia dijadualkan siap sepenuhnya pada Disember 2022 sekali gus akan melancarkan aliran trafik di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi pembaikan infrastruktur pasca banjir di Jalan Lojing ke Gua Musang akibat banjir lumpur dan tanah runtuh pada Januari 2021 telah siap siap sepenuhnya pada September tahun lalu.

“Kerja-kerja baik pulih jalan dan kerosakan di Jalan Lojing-Gua Musang siap dengan kos RM6 juta manakala pembaikan cerun Gua Musang ke Cameron Highlands menelan belanja RM4.7 juta.

“Satu sesi libat urus diadakan kementerian ini bersama ahli Jawatankuasa Perancangan Wilayah (JPW) Kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands-Kinta-Lojing (Cekal) bagi membincangkan dan berkongsi maklumat pemantauan serta penguatkuasaan di sepanjang jajaran Lojing ke Simpang Pulai,” katanya.

Jejambat Wakaf Bharu, Tumpat yang dalam pembinaan.
Jejambat Wakaf Bharu, Tumpat yang dalam pembinaan.