KPDNHEP Selangor rampas diesel subsidi berjumlah RM507,142

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP memeriksa lori tangki yang dirampas dipercayai menjalankan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi menerusi serbuan dijalankan di beberapa lokasi sekitar Selangor pada Selasa.
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP memeriksa lori tangki yang dirampas dipercayai menjalankan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi menerusi serbuan dijalankan di beberapa lokasi sekitar Selangor pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi beberapa siri serbuan di Semenyih, Kota Damansara, Kapar dan Puchong pada Selasa.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, sebanyak 26,050 liter minyak diesel bernilai RM507,142 berjaya dirampas dalam serbuan terbabit.

Menurutnya, seramai 15 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing berumur antara 20 hingga 40an dipercayai terlibat dalam sindiket terbabit turut diberkas.

Tangki dirampas yang dipercayai mengandungi diesel bersubsidi.
Tangki dirampas yang dipercayai mengandungi diesel bersubsidi.

"Turut dirampas lori, tangki berisi minyak diesel, tangki kosong dan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi ini.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 7(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, serbuan dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan serta subsidi melibatkan minyak diesel.

"Siasatan berkaitan kesemua kes ini dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"KPDNHEP sentiasa bertindak tegas serta tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna," katanya.