Waspada produk Muslim tiada status halal

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

RASULLULLAH bersabda yang bermaksud: “Mencari yang halal adalah fardu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Hadis Riwayat Dailami).

Berusaha mencari rezeki daripada sumber halal adalah perkara utama yang dituntut dalam agama.

Ekonomi umat Islam mampu berkembang pesat dan berkat jika produk yang dihasilkan bersumberkan unsur dibenarkan, suci serta mengikut piawaian ditetapkan oleh syariat.

Memetik artikel Pejabat Mufti Wilayah di bahagian Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-441: ‘Produk Muslim yang tiada status halal, yang manakah perlu diutamakan sama ada membeli produk bukan Muslim yang telah mendapat status logo halal (Jakim) atau produk Muslim yang rata-rata tiada logo halal (Jakim).’

Dapat dirungkaikan bahawa semua produk industri kecil dan sederhana (IKS) Muslim yang tiada logo halal (Jakim) tidak boleh dianggap tidak halal mahupun haram.

Hal itu kerana status halal tertakluk kepada bahan-bahan yang digunakan dan teknik penyediaan menepati syarak.

Produk makanan umat Islam mestilah daripada sumber bahan mentah yang halal lagi suci.

Sebaliknya, sumber bahan mentah daripada haiwan haram mahupun haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak, maka jelaslah produk makanan tersebut daripada sumber haram.

Justeru, pengguna Muslim perlu bijak dalam membuat penelitian terhadap bahan-bahan yang dibeli. Pastikan ia bebas daripada unsur haram dan perlu berpegang pada prinsip ‘yakini produk Muslim IKS halal sekiranya telah jelas produk tersebut bebas daripada unsur haram serta teknik penyediaan yang menepati kehendak syarak’.

Panduan tersebut terbina atas dasar kaedah fiqh iaitu ‘keyakinan tidak terluput dengan syak’.

Keraguan

Namun, sekiranya timbul keraguan terhadap sebarang produk makanan Muslim yang tiada logo halal diiktiraf mahupun melihat cara penyediaan tidak menepati kehendak syarak seperti penyediaan makanan daripada telur ayam yang tidak dibasuh dan dikhuatiri masih melekat najis, maka perlu ditinggalkan.

Daripada Hasan bin Ali RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Jelas Pejabat Mufti Wilayah lagi, pengusaha Muslim perlu peka bagi memastikan rantaian produk halalan toyyiban dengan meneliti setiap proses pengeluaran, penyediaan, pengendalian, penyimpanan, pemprosesan, pembungkusan sehinggalah penghantaran produk agar tidak tercemar oleh najis.

Bahkan, menjadi satu tanggungjawab (taklifan) bagi pengusaha Muslim untuk menyediakan produk halal lagi suci kepada masyarakat Islam. Hal itu kerana pengusaha Muslim lebih jelas dan faham terhadap perkara yang telah diharamkan dalam Islam.

Seterusnya, pengusaha produk Muslim perlu memasarkan produk-produk yang terdapat logo halal diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Implikasinya, barangan yang terdapat logo halal akan terus menjadi pilihan utama untuk kegunaan seharian pengguna Muslim.

Berdasarkan hujah yang dikemukakan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa produk Muslim IKS adalah halal sekiranya yakin produk tersebut bebas daripada unsur haram.

Bagaimanapun, jika ragu-ragu terhadap sebarang produk IKS mahupun melihat sendiri teknik penyediaan yang terjejas dengan najis, ia perlu ditinggalkan.

Justeru, pihak pengusaha produk Muslim dinasihati agar bertindak segera memohon persijilan halal (Jakim). Ia bagi memberi keyakinan kepada pengguna Muslim untuk mencari produk yang terdapat logo halal tanpa syak dan ragu.

Waspada selalu. Semoga kita terhindar daripada termakan atau menggunakan perkara yang haram mahupun syubhah.