Skandal LCS: Bola kini di kaki Peguam Negara

Kabinet gesa SPRM segerakan siasatan berkaitan kes skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS). - Foto Bernama
Kabinet gesa SPRM segerakan siasatan berkaitan kes skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS). - Foto Bernama
A
A
A

LEBIH kurang 24 jam selepas kabinet menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan berkaitan kes skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS), agensi itu pada Khamis mengumumkan telah melengkapkan beberapa kertas siasatan berhubung itu.

SPRM dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah mencadangkan beberapa nama kepada Pejabat Peguam Negara untuk didakwa.

Perkembangan itu secara langsung menandakan bahawa ‘bola kini berada di kaki’ Pejabat Peguam Negara untuk memastikan bahawa kes tersebut dibawa ke mahkamah dan seterusnya membolehkan pesalah diberikan hukuman setimpal.

Bagaimanapun, perkara itu meskipun sesuatu yang positif dan mesti diraikan, usaha menangani skandal tersebut masih disifatkan separuh jalan.

Ini kerana belum ada sebarang pendakwaan yang masih dibuat dan mengambil kira beberapa kes salah guna kuasa dan rasuah besar sebelum ini, proses pendakwaan itu adalah satu lagi halangan besar perlu dihadapi sebelum keadilan dapat dicapai.

Malah menerusi komen di sosial media, terdapat juga netizen yang melahirkan rasa skeptikal terhadap perkembangan tersebut yang berpendapat belum ada jaminan proses pendakwaan akan berjalan dengan lancar.

Ada juga di antara netizen yang membangkitkan mengenai kemungkinan kes itu digugurkan oleh kerana ia diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Sehubungan itu, Pejabat Peguam Negara seharusnya memenuhi gesaan kabinet yang dibuat pada Rabu supaya Peguam Negara membuat pendakwaan dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan sekiranya terdapat bukti kukuh.

Malah, jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa siasatan berhubung isu berkenaan perlu dijalankan dengan telus dan tiada mana-mana individu dilindungi juga perlu dipenuhi.

Dalam pada itu, siri berbalas kenyataan daripada Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengenai skandal LCS pula terus berjalan di sosial media.

Rafizi pada Khamis terus menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan penglibatan Najib melalui subkontraktor dilantik dalam projek tersebut iaitu DCNS meskipun bekas Perdana Menteri itu telah menafikan perkara tersebut.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pandan itu, keputusan dibuat oleh Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) dalam isu kawalan pengurusan Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) adalah tidak masuk akal.

Ini selepas beliau mendakwa Rheinmetall (Air Defense) AG (RAD) memiliki kawalan pengurusan terhadap CAD meskipun BHIC merupakan pemegang saham majoritI CAD.

Rafizi berkata, Pengerusi Lembaga Pengarah BHIC yang bersetuju dengan keputusan tidak ‘masuk akal’ itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, individu diketahui umum rapat dengan Najib.

NACD yang merupakan syarikat subkontraktor dilantik dalam projek LCS merupakian entitit yang mengeluarkan surat lantikan (LOA) kepada DCNS untuk membekalkan kerja-kerja dalam dua pakej berkaitan perbekalan dan pembinaan berjumlah RM1.185 bilion.

Menjawab dakwaan tersebut, Najib berkata, wakil syarikat asing yang terbabit dalam pembinaan LCS itu perlu disaman sekiranya mereka benar-benar menyalahgunakan dana projek tersebut seperti didakwa Rafizi.

Najib berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah jika siasatan penuh dilakukan terhadap pihak terbabit.

Katanya, ini kerana beliau tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam isu tersebut.

Tambah Najib, aturan dan pelantikan individu daripada negara luar bukan perkara baharu dalam tadbir urus syarikat perniagaan di dalam negara.