Isu LCS: Pemimpin bersih UMNO bakal 'dihukum' jika PRU15 awal

Gambar dari kiri: Ismail Sabri dan Mohamad Hasan
Gambar dari kiri: Ismail Sabri dan Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) termasuk seluruh pemimpin UMNO yang berimej bersih berisiko menerima 'hukuman' daripada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang membabitkan keselamatan negara dilihat memberi impak lebih besar berbanding isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penganalisis Politik, Profesor Wong Chin Huat berkata, ini kerana seluruh kepimpinan UMNO akan menerima tempias meskipun skandal LCS melibatkan segelintir pemimpin UMNO dan kroni.

"Jika UMNO masuk PRU sekarang, maka seluruh UMNO termasuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) yang tidak terlibat dalam skandal ini akan dihukum pengundi yang marahkan seluruh UMNO kerana melihat ini sebagai 1MDB 2.0 yang lebih besar dan lebih menjahanamkan keselamatan negara.

"Untuk menyelamatkan diri, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) seperti yang dicadangkan oleh Pemuda UMNO juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan DAP perlu ditubuhkan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambah beliau, bagaimanapun sekiranya RCI ditubuhkan sekalipun, ia tidak cukup membuktikan kesungguhan UMNO membersihkan diri daripada rasuah, tetapi reformasi penyiasatan dan pendakwaan yang bebas daripada campur tangan kerajaan perlu dilakukan.

"Jabatan Pendakwa raya yang dipisahkan daripada Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di bawah Parlimen, bukannya Perdana Menteri mesti diwujudkan.

"UMNO mesti menunjukkan kesungguhan untuk membersihkan diri daripada barah-barah rasuah. Dengan reformasi ini, UMNO dapat berdiri teguh sebagai parti patriotik dan bukan parti perasuah yang dengan mudahnya boleh dilabel sebagai pengkhianat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jangkaan nasib yang bakal dihadapi UMNO pada PRU15 memandangkan isu LCS sedang meledak di pelbagai platform media sosial sama seperti isu 1MDB.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Oh Ei Sun pula berkata, peluang UMNO untuk menang akan lebih terjejas jika PRU15 terus ditangguh.

"Isu LCS ini menjadi satu lagi sebab mengapa UMNO perlu mendesak supaya pilihan raya umum diadakan secepat mungkin.

"Jika dibiarkan lebih lama, bukan sahaja skandal LCS ini akan memburuk, tetapi ekonomi juga akan menjadi lebih teruk, jadi peluang UMNO (untuk menang) akan menjadi lebih teruk," katanya.