Buang pemimpin rompak negara: Anwar

Anwar pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak di sini pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak di sini pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Pembangkang mendesak pihak berkuasa segera mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab jawab terhadap skandal kapal tempur pesisir (LCS) untuk dibawa ke muka pengadilan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skandal yang disifatkan sebagai rompakan besar-besaran itu tidak boleh dibiarkan terus berlaku.

Menurutnya, Jawatankuasa Kementerian Pertahanan telah pun mengeluarkan laporan pada tahun 2020 yang mengenal pasti beberapa kelemahan serta salah guna kuasa berlaku.

"Saya tak peduli siapa salah, saya nak kenal pasti siapa yang bertanggungjawab mengambil keuntungan komisen menyebabkan kerosakan ini. Saya tekankan bukan LCS sahaja, setiap projek besar, setiap projek mega mesti ada rompakan. Apa jenis negara yang boleh biarkan perkara ini berlarutan?

"Cara selesaikan adalah buang pemimpin sama ada Melayu, Cina, India atau Iban yang merosakkan negara dengan rompakan kali ini. Itu pendirian kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Perak di Pejabat PKR Perak, di sini pada Khamis.

Pada 4 Ogos lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh dilaporkan berkata, kajian daya maju (due deligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat BNS mengenai pembinaan LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menyangkal dakwaan dirinya terlibat dalam menyeleweng dana projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dengan menggunakan beberapa lapis syarikat sehingga menyebabkan kos bahagian kontrak tersebut naik tiga kali ganda.

Sebaliknya Ahli Parlimen Pekan itu menjelaskan, dua syarikat tersebut iaitu Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) adalah syarikat usaha sama 49 hingga 51 peratus antara Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) iaitu anak syarikat Boustead milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan syarikat Jerman terkenal Rheinmetall Air Defence AG.