21 kertas siasatan dibuka babit kes rasuah JPKK Pahang

Razim (tiga dari kiri) pada majlis penutup Program Anti Rasuah dan Tadbir Urus Dana Kerajaan dalam kalangan Pengerusi JPKK Pahang di sini pada Khamis.
Razim (tiga dari kiri) pada majlis penutup Program Anti Rasuah dan Tadbir Urus Dana Kerajaan dalam kalangan Pengerusi JPKK Pahang di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 21 kertas siasatan membabitkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pahang dalam tempoh lima tahun sejak 2018.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata, daripada jumlah itu, satu kes dituduh ke mahkamah dan masih dalam perbicaraan manakala dua lagi kes masih dalam siasatan.

Menurutnya, lima kes pula menerima surat untuk memperbaiki kelemahan dalam prosedur JPKK dan 13 kes lagi tiada tindakan lanjut.

“Ini antara data dan statistik diperoleh hasil daripada aduan yang diterima oleh SPRM berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan JPKK.

“Perkara ini dipandang serius oleh SPRM demi memastikan institusi kampung sentiasa terpelihara dan bebas daripada sebarang perlakuan jenayah rasuah khususnya yang membabitkan kepentingan masyarakat setempat,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutup Program Anti Rasuah dan Tadbir Urus Dana Kerajaan dalam kalangan Pengerusi JPKK Pahang di sini pada Khamis.

Majlis penutup disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Abd Aziz Mat Kiram yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama, Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim.

Seramai 218 penghulu dan Pengerusi JPKK Kuantan, Maran, Rompin dan Pekan hadir pada program sehari itu.

Dalam pada itu, Razim juga meminta supaya individu yang disiasat perlu memberi kerjasama kepada SPRM dalam membantu siasatan bagi mengelak tohmahan.

“Dalam kes ini, ketua kampung disaran supaya melaksanakan amanah diberikan bagi kepentingan masyarakat yang mereka wakili.

“Jangan melakukan kesalahan sebab mereka (Pengerusi JPKK) dibayar elaun untuk menjalankan tugas dan kita tidak mahu peruntukan disalurkan tidak sampai kepada kumpulan sasar," tegasnya.