Lebih 6,000 sokong siasatan LCS tanpa campur tangan politik

Petisyen tuntutan rakyat agar skandal kapal tempur pesisir (LCS) disiasat tanpa campur tangan politik dilancarkan dua hari lalu.
Petisyen tuntutan rakyat agar skandal kapal tempur pesisir (LCS) disiasat tanpa campur tangan politik dilancarkan dua hari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM- Lebih 6,000 tandatangan dikumpulkan menerusi petisyen tuntutan rakyat agar skandal kapal tempur pesisir (LCS) disiasat tanpa campur tangan politik.

Petisyen dimulakan oleh Akademi Pendidikan Politik Dan Demokrasi (APDK) itu mensasarkan sebanyak 7,500 tandatangan dan sebanyak 6,626 sokongan direkodkan setakat jam 5.30 petang pada Khamis iaitu dalam tempoh dua hari dilancarkan.

Pengerusi APDK, Amidi Abd Manan berkata, penyelewengan yang berlaku dalam isu LCS tidak seharusnya dibiarkan tanpa pembelaan apatah lagi ia melibatkan institusi pertahanan.

"Skandal berkenaan bukan soal kapal semata-mata, tetapi terkait dengan soal keselamatan negara.

"Ini bukan kapal pelancongan. Ini kapal untuk mempertahankan kedaulatan negara. Sampai bila kita akan dihadapkan dengan kebejatan sebegini. Kita bukan sekadar mempertaruhkan nyawa para perwira tetapi maruah anak bangsa dan negara kita," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan bahawa satu petisyen suara berhubung tuntutan rakyat terhadap skandal LCS, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) digerakkan bagi mendesak siasatan isu berkenaan dilakukan tanpa campur tangan politik.

Petisyen itu mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki; Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun segera melaksanakan siasatan, memuktamadkan dan mendakwa mereka yang terlibat.

Turut dituntut agar Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menubuhkan satu jawatankuasa yang diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera bagi meneliti dan melaksanakan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tanpa campur tangan politik.

Antara lain, petisyen itu menuntut penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi meneliti segala aspek agar tiada pihak yang bersalah terlepas daripada pendakwaan.