Petisyen tuntut siasat skandal LCS tanpa campur tangan politik

Satu petisyen suara berhubung tuntutan rakyat terhadap skandal LCS TLDM digerakkan bagi mendesak siasatan isu berkenaan dilakukan tanpa campur tangan politik. - Gambar Fail Bernama
Satu petisyen suara berhubung tuntutan rakyat terhadap skandal LCS TLDM digerakkan bagi mendesak siasatan isu berkenaan dilakukan tanpa campur tangan politik. - Gambar Fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Satu petisyen suara berhubung tuntutan rakyat terhadap skandal kapal tempur pesisir (LCS), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) digerakkan bagi mendesak siasatan isu berkenaan dilakukan tanpa campur tangan politik.

Petisyen dimulakan Akademik Pendidikan Politik dan Demokrasi itu mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun segera melaksanakan siasatan, memuktamadkan dan mendakwa mereka yang terlibat.

Turut dituntut agar Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menubuhkan satu jawatankuasa yang diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera bagi meneliti dan melaksanakan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tanpa campur tangan politik.

Antara lain, petisyen itu juga menuntut penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi meneliti segala aspek agar tiada pihak yang bersalah terlepas daripada pendakwaan.

"Jangan ada sebarang perlindungan politik yang tidak munasabah diberikan oleh pihak-pihak tertentu.

"Sebagai warga negara Malaysia, kami amat menghargai pengorbanan para anggota tentera yang sepatutnya mendapat pembelaan yang lebih baik menerusi keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera," menurut petisyen itu.

Petisyen 'Tuntutan Rakyat Terhadap Skandal Kapal Ghaib LCS' mendapat 144 sokongan berbanding sasaran 200 tandatangan.