MAHB, Capital A tamatkan prosiding undang-undang

Pemulihan industri semakin baik, ini sekali gus merangsang pertumbuhan sektor pelancongan serta ekonomi Malaysia.
Pemulihan industri semakin baik, ini sekali gus merangsang pertumbuhan sektor pelancongan serta ekonomi Malaysia.
A
A
A

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB), melalui anak syarikatnya Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan Capital A Bhd, iaitu syarikat induk AirAsia Aviation Group Ltd, mengumumkan untuk menghentikan sebarang prosiding undang-undang di antara kedua-dua pihak.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, tiada lagi prosiding undang-undang atau litigasi material daripada MAHB terhadap AirAsia Bhd/AirAsia X Bhd.

"Kami percaya dengan kerjasama erat semua pihak berkepentingan dalam ekosistem penerbangan adalah kunci yang memacu kami ke arah pertumbuhan untuk kedua-dua industri dan negara. Kami komited untuk bekerjasama bagi manfaat bersama dan kejayaan semua pihak berkepentingan iaitu syarikat penerbangan, lapangan terbang, penumpang dan industri,” katanya dalam satu kenyataan bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia dan AirAsia X juga telah menarik balik semua prosiding undang-undang sambil berharap dapat bekerjasama demi masa depan yang lebih baik.

"Apabila dunia semakin pulih daripada pandemik dan kerugian besar dalam industri penerbangan, adalah penting untuk semua pihak berkepentingan bekerjasama merangsang kebangkitan semula perjalanan udara.

"Sebagai dua pemain utama dalam memacu ekosistem penerbangan, adalah lebih penting bahawa MAHB dan syarikat penerbangan kami, AirAsia dan AirAsia X yang berpangkalan di Malaysia menunjukkan solidariti dalam menjadikan industri penerbangan Malaysia berdaya saing dan menarik semula,” tambah beliau.

Fernandes seterusnya berkata, syarikat itu teruja kerana telah menemukan titik persamaan bagi mencapai hasil yang baik terhadap penyelesaian sebarang perkara tertunggak dengan MAHB, melalui dialog yang menyokong dan konstruktif dengan semangat perkongsian.

"Ini merupakan petanda baik untuk menyokong pemulihan industri dengan pantas dan merangsang pertumbuhan sektor pelancongan serta ekonomi Malaysia.

"Kami berterima kasih kepada MAHB atas sokongan mereka untuk menjadikan perjalanan udara keluar dari hab utama kami di klia2 bukan sahaja mampu milik kepada berjuta-juta penumpang setiap tahun tetapi juga dengan komitmen bersama untuk bekerjasama dengan kami dalam meningkatkan perkhidmatan yang lebih baik bagi membina masa depan industri pelancongan, yang merupakan situasi ‘menang-menang’ untuk kita semua,” tambah beliau. - Bernama