Polis selamatkan enam warga asing dijadikan buruh paksa

Antara mangsa yang berjaya diselamatkan D3 Bukit Aman dalam operasi di sekitar Kampung Sungai Udang, Klang pada Selasa. - Foto PDRM
Antara mangsa yang berjaya diselamatkan D3 Bukit Aman dalam operasi di sekitar Kampung Sungai Udang, Klang pada Selasa. - Foto PDRM
A
A
A

KLANG - Kegiatan sekumpulan ejen pekerjaan memaksa beberapa warga asing untuk menjadi buruh paksa terbongkar selepas digempur polis menerusi satu operasi di sekitar Kampung Sungai Udang, di sini, pada Selasa.

Kesemua warga asing terbabit dijanjikan pekerjaan dengan pendapatan lumayan oleh pihak sindiket ketika berada di negara asal masing-masing bagaimanapun terperangkap apabila dipaksa bekerja lebih masa malah gaji mereka dikawal oleh ejen terbabit.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hong Foong berkata, serbuan dijalankan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sekitar jam 6.30 petang.

"Semasa serbuan dijalankan, polis berjaya menangkap empat suspek terdiri daripada seorang lelaki dan wanita tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga asing berusia lingkungan 38 hingga 43 tahun yang merupakan ejen pekerjaan.

"Dalam operasi ini, mangsa seramai tiga lelaki dan tiga wanita warga asing berusia lingkungan 24 hingga 44 tahun telah diselamatkan di bawah Seksyen 44, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa berkenaan dieksploitasi untuk menjadi buruh paksa di sebuah kilang simen di sini oleh ejen pekerjaan terbabit.

"Selepas tiba di Malaysia, kos perjalanan dan dokumentasi telah dipotong dari gaji setiap bulan dan pasport kesemua mangsa ditahan oleh pihak ejen.

"Mangsa-mangsa juga disyaki telah dipaksa kerja lebih masa untuk membayar balik segala kos perjalanan dan passport malah tiada permit sah diberikan seperti yang dijanjikan ejen di negara asal mereka," katanya.

Beliau berkata, pasukan serbuan yang diketuai Ketua Penolong Pengarah D3, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus turut merampas sebanyak 20 pasport dan wang dipercayai gaji pekerja berjumlah RM13,600.

Katanya, kesemua suspek direman enam hari bermula Rabu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 12 Atipsom 2007 dan Seksyen 12 (1)(f) Akta Pasport 1966.