Penyeludup semakin licik, sukar kawal sempadan negara

Muhammad Nizam
Muhammad Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Selain daripada faktor keluasan sempadan yang luas antara Malaysia dan Thailand, kelicikan kumpulan penyeludup juga menjadi antara punca utama menyebabkan penguatkuasa sukar untuk menangani kegiatan tersebut.

Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Kelantan, Muhammad Nizam Ismail berkata, kumpulan penyeludup menggunakan pelbagai kaedah termasuk melalui penggunaan tonto dan teknologi terkini.

“Saya bagi contoh, macam seperti kita maklum yang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ini selalu diikuti oleh tonto. Sama juga dengan sempadan. Sekiranya ada penguatkuasa seperti tentera, polis, kastam atau imigresen mereka, mereka ini lebih cepat.

“Sebab tonto ini saya pernah dimaklumkan sekiranya keluar sahaja kenderaan, penyeludup ini dah dapat tahu. Itu menyebabkan kadang-kadang operasi penguatkuasa menjadi terbantut,” katanya ketika program Kompas Rasuah Busters ‘On The Go’ bertajuk Sempadan Bolos: Bila Nak Selesai? yang disiarkan di kesemua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Hadir sama pada program diacarakan Dinnie Asyraf Salim ialah peguam, Nik Saiful Adli Burhan.

Dari kiri: Dinnie, Nik Saiful dan Muhammad Nizam ketika program Kompas Rasuah Busters ‘On The Go’ bertajuk Sempadan Bolos: Bila Nak Selesai? pada Rabu.
Dari kiri: Dinnie, Nik Saiful dan Muhammad Nizam ketika program Kompas Rasuah Busters ‘On The Go’ bertajuk Sempadan Bolos: Bila Nak Selesai? pada Rabu.

Dalam hal penggunaan teknologi, Muhammad Nizam berkata, telefon bimbit digunakan oleh penyeludup berupaya untuk bukan sahaja memudahkan komunikasi antara mereka malah membantu mereka menjejaki penguatkuasa untuk memudahkan kerja mereka.

Pada masa sama, beliau berkata, meskipun mengakui terdapat unsur ‘tangan ghaib’ yang membenarkan kegiatan itu berlaku di sempadan, isu tersebut dilihat tidak sebesar seperti yang disangkakan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Sebab di sempadan Malaysia dan Thailand ini dikawal oleh penguatkuasa seperti polis, Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), tentera, imigresen dan kastam. jadi terlalu banyak agensi.

“Kalau ada tangan ghaib, saya rasa dari segi logik dia nak ‘cover’ (beri suapan) semua dia tak dapat,” ujarnya.

Untuk menangani isu tersebut, Muhammad Nizam berkata, langkah terbaik adalah melalui pembinaan pagar berlapis di sempadan darat negara, meskipun mengakui ia akan melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi.

“Pagar ini bukan macam pagar besi tapi pagar yang ada dua lapis dengan tinggi lebih kurang 20 kaki (6 meter). Maknanya kalau dua pagar orang nak meloloskan diri kalau dapat pun mungkin payah dan makan masa,” ujarnya.