Kerajaan Pahang senarai hitam peserta STR jual tanah

Wan Rosdy (kanan) menyerahkan Surat Hak Milik dan dan Notis Borang 5A kepada penerima di daerah Jerantut Pada Rabu.
Wan Rosdy (kanan) menyerahkan Surat Hak Milik dan dan Notis Borang 5A kepada penerima di daerah Jerantut Pada Rabu.
A
A
A

JERANTUT - Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas dengan menyenarai hitam peserta dan keluarga peserta Skim Tanah Rakyat (STR) sekiranya mereka didapati menjual tanah yang diterima.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, buat masa ini tindakan tersebut masih belum dilaksanakan.

“Setakat ini belum ada lagi yang disenarai hitam sebab kita dah bagi amaran awal dan mereka tidak menjual tanah itu.

"Dan kita juga ada kenakan moratorium kepada peserta, di mana mereka yang dapat tanah ini, dia nak jual pada hari esok, tak boleh. Ia ada tempoh, itu pun kena mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik dan Notis Borang 5A Daerah Jerantut di Dewan Utama Majlis Daerah Jerantut di sini pada Rabu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak, Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.

Ujarnya, tindakan tersebut untuk membendung aktiviti menjual tanah menjadi amalan di kalangan penerima terlibat.

Jelasnya, tujuan pemberian tanah tersebut untuk meningkatkan taraf sosioekonomi di kalangan peserta.

“Yang pertama sekali kita tak nak ia (penjualan tanah) jadi amalan. Mereka mohon tanah, dapat tanah, jual. Kita bagi tanah ini adalah untuk menambahkan kedudukan sosioekonomi mereka.

“Bila dapat tanah contohnya tiga ekar, empat ekar, mereka boleh bercucuk tanam. Boleh tanam getah, sawit dan dalam jangka masa empat tahun ke lima tahun, akan membuahkan hasil dan sekali gus menambahkan hasil pendapatan mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sekiranya peserta menjual tanah STR yang diberikan, hasrat kerajaan negeri untuk membantu rakyat Pahang tidak akan tercapai.

“Dan kita tak nak jadi amalan di Pahang, dapat tanah, jual tanah, kerana tanah ini adalah sumber yang terhad," katanya.

Sementara itu, seramai 1,312 peserta dari daerah ini terpilih menerima Suratan Hak Milik dan Notis Borang 5A.