Tiada rekod pembayaran UKSB kepada Hishammuddin

Ahmad Zahid (dua, kiri) hadir di Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu bagi perbicaraan berhubung kes rasuah berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto Bernama
Ahmad Zahid (dua, kiri) hadir di Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu bagi perbicaraan berhubung kes rasuah berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi pada Rabu bahawa hasil siasatannya mendapati tiada rekod pembayaran dibuat syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

V. Mahendran, 38, berkata menerusi keterangan saksi-saksi pendakwaan dan semakan lejar yang diperoleh daripada bekas Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun, tiada sebarang pembayaran dibuat kepada Menteri Kanan Pertahanan itu.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zander Lim Wai Keong, semasa perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) hari ini.

Zander Lim: Siapakah saksi-saksi yang memberi keterangan tersebut ?

Mahendran: David Tan, Harry Lee (bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khiun) dan Wan Quoris (bekas Pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani)

Zander Lim: Berdasarkan lejar ini, adakah nama Hishammuddin dicatat?

Mahendran: Tidak ada

Ketika ditanya TPR Datuk Raja Rozela Raja Toran, sama ada wujud siasatan membabitkan nama-nama orang kenamaan yang terdapat di dalam lejar UKSB, saksi pendakwaan ke-18 itu menjawab: "Saya semak puluhan nama individu seperti pegawai kerajaan, ahli politik, rakan perniagaan dan juga nama orang kenamaan seperti KJ”.

Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid, saksi itu berkata beliau tidak pernah menyiasat nama proksi-proksi menteri semasa proses siasatan kes itu.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. - Bernama