Perjuangan bernoktah, KDA FC tetap bangga

KDA tetap bangga beraksi di peringkat ASEAN biarpun perjuangan disekat PSM Makassar pada aksi separuh akhir Piala AFC 2022 di Bali, Indonesia pada Selasa. - Foto FB KEDAH DARUL AMAN FC
KDA tetap bangga beraksi di peringkat ASEAN biarpun perjuangan disekat PSM Makassar pada aksi separuh akhir Piala AFC 2022 di Bali, Indonesia pada Selasa. - Foto FB KEDAH DARUL AMAN FC
A
A
A

BIARPUN perjuangan bernoktah pada aksi separuh akhir Piala AFC 2022, Kedah Darul Aman (KDA) FC masih boleh berasa puas dan bangga.

Persiapan pasukan yang dikatakan dalam serba kekurangan, skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu masih boleh melangkah jauh berada dalam kelompok empat pasukan terbaik Zon ASEAN.

Selepas perjalanan disekat PSM Makassar, bekas pengendali Home United itu menuntut para pemain mempelajari sesuatu dan mengambil positif pengalaman beraksi di peringkat Asia tersebut untuk mengharungi baki saingan domestik musim ini.

“Pada mulanya, tiada meletakkan harapan kepada kita untuk mara sehingga ke separuh akhir tetapi pemain saya membuktikan kita mampu.

"Tiada apa lagi yang boleh saya minta daripada mereka.

“Jadi harapnya kita ada rezeki (ke Piala AFC) musim seterusnya dan kita akan jadi lebih baik," katanya.

Skuad Kenari terpaksa akur perjuangan di pentas Piala AFC berakhir di separuh akhir Zon ASEAN setelah tewas 1-2 kepada PSM Makassar di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Indonesia.

Pada itu, tuan rumah mendahului menerusi ledakan Yakob Sayuri pada minit ke-31 dan Yuran Fernandes turut mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-54.

Penyerang muda KDA FC, Fayadh Zulkifli memperoleh gol saguhati pada minit ke-86 ke atas lawan yang menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai persembahan para pemain, Aidil mengakui saingan babak pertama tidak begitu menjadi, namun dia percaya mereka sudah memberikan yang terbaik pada aksi tersebut.

“Banyak yang perlu kita belajar apatah lagi sudah lama pasukan ini tidak beraksi di Piala AFC. Komunikasi kita tidak begitu baik pada separuh masa dan mereka menjaringkan gol pertama yang mudah.

“Kita cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi lebih sukar menentang lawan yang kehilangan seorang pemain kerana mereka akan lebih banyak bertahan.

“Tetapi saya tahu pemain berjuang sehingga wisel penamat dan saya hargai kerja keras mereka,” katanya.