Lima RUU dibentang tingkat kutipan, penguatkuasaan cukai

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini membentangkan pindaan kepada lima RUU iaitu Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019, RUU Kastam (Pindaan) 2019, RUU Zon Bebas (Pindaan) 2019, RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2019, dan RUU Eksais (Pindaan) 2019.

RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019 itu akan membolehkan kerajaan mengenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital (dalam talian) yang diberikan oleh pihak asing kepada mana-mana pengguna.

Cukai perkhidmatan itu perlu dikena dan dilevikan pada kadar yang ditetapkan dengan merujuk kepada nilai yang dikenakan oleh pihak asing itu selain pihak asing terbabit perlu berdaftar dengan Kastam Diraja Malaysia.

Menurut RUU itu, mana-mana pendaftar asing yang melanggar subseksyen (1) melakukan kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 Nov, Lim dilapor berkata kerajaan akan mengenakan dan meremit cukai ke atas perkhidmatan dalam talian (digital) termasuk perisian, muzik, video atau sebarang pengiklanan digital berkuatkuasa 1 Jan 2020.

Keputusan itu adalah untuk memastikan penyedia perkhidmatan tempatan seperti perkhidmatan arkitek, reka bentuk grafik, teknologi maklumat dan reka bentuk kejuruteraan mendapat persaingan yang adil.

Sementara itu, Guan Eng berkata RUU Kastam pula akan menambahbaik prosedur kastam seperti pembayaran duti kastam, surcaj, penalti, fi atau wang lain, pengemukaan manifes, kewajipan menyimpan rekod barang yang diimport, pemindahan barang melalui transit dan pindah kapal, penggudangan barang import dan pelepasan kapal.

Pindaan ini juga bagi mewujudkan peruntukan bagi pelesenan pangkalan bekalan petroleum, perkara-perkara berkaitan tempat asal barang (origin of goods), layanan tarif berkeutamaan dan bukan berkeutamaan (preferential and non-preferential tariff treatment), serta peruntukan khas berkenaan dengan Pangkor sebagai pulau bebas cukai.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, pindaan ini juga bertujuan mengukuhkan kuasa penguatkuasaan pegawai kastam dan menaikkan jumlah penalti bagi kesalahan di bawah Akta 235.

Bagi pindaan RUU Eksais 2019 pula, tatacara eksais khususnya yang berhubung dengan pembayaran duti eksais, kewajipan untuk menyimpan rekod yang berhubungan dengan perkara eksais dan penggudangan barang import akan ditambah baik.

Pindaan itu antara lain bertujuan meningkatkan penguatkuasaan pegawai eksais dan untuk meningkatkan amaun penalti bagi kesalahan di bawah Akta 176.

Bagi pindaan RUU Akta Cukai Jualan 2018 pula, pula ia memberi fokus kepada peruntukan penalti bagi sesuatu kesalahan bagi mana-mana orang yang mengelak cukai jualan ke atas barang bercukai yang diimport.

Manakala bagi RUU Akta Zon Bebas 1990 pula, pindaan turut dibuat membabitkan peruntukan penalti untuk menghalang penyalahgunaan serta penyelewengan kemudahan dan prosedur kastam di zon bebas. - Bernama