Peluang kerja graduan tidak hanya bergantung kepada universiti

Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad
Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad
A
A
A

SINTOK - Peluang pekerjaan untuk graduan tidak bergantung kepada universiti semata-mata sebaliknya turut bersandar kepada beberapa faktor lain seperti peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh pelbagai sektor industri di negara ini.

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, semua pihak berusaha untuk memastikan negara dapat segera keluar daripada gelembung inflasi bagi mewujudkan lebih banyak ruang pekerjaan kepada masyarakat termasuk graduan.

"Pihak kami cukup yakin dengan keupayaan universiti melahirkan graduan yang berkualiti seiring dengan komitmen jitu pensyarah-pensyarah yang sedia ada.

"Selepas pelajar itu mendapat ijazah dan apabila ia keluar ke alam pekerjaan ia bergantung kepada beberapa faktor lain seperti apa yang mampu diwujudkan oleh sektor-sektor lain seperti industri, perkilangan dan sebagainya.

"Kita kena berusaha memastikan bahawa negara kita cepat-cepat dapat keluar sepenuhnya daripada gelembung-gelembung inflasi dan juga memastikan kita dapat menyediakan lebih banyak ruang pekerjaan kepada rakyat negara kita. Itu akan menentukan sama ada mereka dapat bekerja atau tidak," katanya pada sidang media di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas hadir Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) 2022, Universiti Utara Malaysia (UUM), dekat sini.

Ahmad Masrizal semasa hadir Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) 2022, Universiti Utara Malaysia (UUM), dekat sini pada Rabu.
Ahmad Masrizal semasa hadir Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) 2022, Universiti Utara Malaysia (UUM), dekat sini pada Rabu.

Sementara itu, semasa ditanya mengenai isu keciciran pelajar universiti ketika pandemik Covid-19, Ahmad Masrizal berkata, pihak universiti sedaya-upaya membantu pelajar terbabit tidak terus tercicir.

"Saya tidak mempunyai data khusus mengenai jumlah pelajar yang tercicir ketika waktu pandemik, namun saya jangka tidak sampai lima peratus daripada jumlah pelajar yang kita ada.

"Pihak universiti mempunyai satu mekanisme untuk pastikan pelajar ini tidak tercicir, sekiranya kita kesan pelajar ini kita akan rujuk kepada kaunselor atau perunding universiti, cuma jika ia disebbakan masalah peribadi itu persoalan lain," ujarnya.