Naikkan kadar faedah tidak atasi kekangan bekalan

Kadar faedah yang lebih tinggi akan meningkatkan beban hutang kerajaan, perniagaan dan isi rumah. Gambar hiasan. (Gambar dalam : Jomo Kwame Sundaram)
Kadar faedah yang lebih tinggi akan meningkatkan beban hutang kerajaan, perniagaan dan isi rumah. Gambar hiasan. (Gambar dalam : Jomo Kwame Sundaram)
A
A
A

SHAH ALAM - Lonjakan inflasi baru-baru ini disebabkan kekurangan bekalan berikutan pandemik Covid-19, perang Ukraine-Rusia dan sekatan.

Pakar Ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram berkata, perang Ukraine-Russia dan sekatan telah menghalang pemulihan daripada pandemik Covid-19.

“Lebih 80 bank pusat telah menaikkan kadar faedah setakat tahun ini. ‘Major central bankers’ kecuali ‘Bank of Japan governor’ telah bertindak balas terhadap inflasi baru-baru ini dengan menaikkan kadar faedah,” katanya menerusi catatan di blog peribadinya itu pada Selasa.

Ujarnya lagi, meningkatkan kadar faedah berkemungkinan memperlahankan kenaikan harga dengan mengurangkan permintaan namun ia tidak mengatasi kekangan bekalan yang merupakan punca utama inflasi buat masa ini.

“Oleh itu, dasar anti-inflasi dalam keadaan semasa harus berubah daripada menekan permintaan domestik dengan kadar faedah lebih tinggi untuk meningkatkan bekalan.

“Menaikkan kadar faedah meningkatkan kos kredit untuk semua. Sebaliknya, kekangan kewangan terhadap industri yang ingin dipromosikan sebagai contoh tenaga boleh diperbaharui harus dipermudahkan manakala kredit yang tidak diingini, tidak cekap, spekulatif dan aktiviti tidak produktif seperti hartanah dan pembelian saham harus diperketatkan,” katanya.

Jelasnya lagi, ini memerlukan dasar makroekonomi untuk menyokong kepelbagaian ekonomi dengan menggalakkan pelaburan industri dan inovasi teknologi.

“Setiap matlamat memerlukan alat dasar yang bersesuaian. Daripada bertindak balas terhadap inflasi dengan menaikkan kadar faedah, justeru penggubal dasar harus mempertimbangkan pelbagai punca inflasi dan bagaimana cara mereka berinteraksi.

“Setiap sumber inflasi memerlukan alat dasar yang sesuai, bukan satu instrumen tumpul untuk semua tetapi bank pusat masih menganggap menaikkan kadar faedah sebagai dasar utama,” katanya.

Dalam pada itu, Jomo menjelaskan biarpun semasa inflasi meningkat, menaikkan kadar faedah mungkin bukan alat dasar yang tepat atas beberapa faktor.

“Pertama, kadar faedah hanya menangani gejala, bukan punca inflasi, yang mana ia boleh menjadi banyak.

“Kedua, menaikkan kadar faedah terlalu kerap dan terlalu banyak boleh membunuh perniagaan yang produktif dan cekap bersamaan dengan perniagaan yang begitu kurang.

“Ketiga, dengan memperlahankan ekonomi, kadar faedah yang lebih tinggi tidak menggalakkan pelaburan dalam teknologi baharu, peningkatan kemahiran, loji dan peralatan malah memberi kesan buruk kepada potensi jangka panjang ekonomi,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kadar faedah yang lebih tinggi akan meningkatkan beban hutang kerajaan, perniagaan dan isi rumah.