Pemain sepak takraw dakwa diarah boikot Piala Raja Thailand ke-35

Antara aksi beregu sepak takraw lelaki negara pada final Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 selepas menewaskan Laos 2-1 di Bangkok. - Foto Bernama (Gambar kecil: Suhaili)
Antara aksi beregu sepak takraw lelaki negara pada final Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 selepas menewaskan Laos 2-1 di Bangkok. - Foto Bernama (Gambar kecil: Suhaili)
A
A
A

SEORANG pemain sepak takraw negara mendakwa pihak tertinggi Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengarahkan supaya memboikot dan mensabotaj Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 di Bangkok, baru-baru ini.

Dakwaan itu didedahkan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (MASTAF), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang menerima laporan daripada pegawai skuad kebangsaan yang bersama pasukan di Bangkok.

Suhaili berkata, berdasarkan laporan yang diterimanya, pemain negara berkenaan mengadu tidak dapat mempamerkan aksi terbaik kerana berasa tertekan apabila diarahkan untuk memboikot kejohanan berprestij itu.

"Seorang pemain mengadu tertekan kerana diarah oleh Presiden PSM untuk boikot dan sabotaj pertandingan itu.

"Kenyataan dibuat pemain tersebut amat memeranjatkan pihak MASTAF,” katanya.

Beliau berkata, MASTAF akan menghantar laporan penuh kepada Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung aduan yang dibuat pemain itu.

Katanya, sekiranya dakwaan pemain itu benar, ia merupakan satu pengkhianatan kepada negara dan industri sukan.

Dalam pada itu, Suhaili berkata, berdasarkan laporan, pemain itu memberitahu barisan pemain negara turut dipanggil hadir berjumpa dengan Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan sebelum berangkat ke Bangkok.

Artikel Berkaitan:

"Pemain tersebut menyebut bahawa mereka dipanggil hadir ke pejabat presiden PSM dan mana-mana pemain yang tidak mahu menyertai pertandingan di Bangkok boleh keluar dari bilik tetapi tidak ada seorang pun yang keluar kerana mahu berkhidmat kepada negara dan hendak bermain di Bangkok,” katanya.

Sebelum ini, Suhaili mendedahkan pihaknya sedang menyiasat mengenai maklumat yang diterima mengatakan ada pihak tertentu mahu barisan pemain negara bermain untuk kalah di Bangkok.

Sementara itu, Mohd Sumali ketika dihubungi menolak dakwaan itu dengan menyifatkan ia tidak berasas.

"Tidak timbul soal itu (PSM arah boikot) langsung, malah saya mengadakan zoom meeting (mesyuarat dalam talian) dengan semua pemain untuk bagi semangat malam sebelum mereka beraksi di Bangkok dan disaksikan (pihak) MSN,” katanya.

Malaysia menamatkan kempen Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 yang berakhir bulan lepas dengan pencapaian satu pingat emas dalam acara Beregu Lelaki dan tiga gangsa masing-masing menerusi Regu Lelaki, Regu Berpasukan Lelaki dan Beregu Wanita. -Bernama