Lelaki Indonesia dipenjara 8 bulan, satu sebatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

REMBAU - Gara-gara berjudi di tempat awam dan tidak memiliki dokumen sah, seorang lelaki warganegara Indonesia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Rembau di sini, pada Rabu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Kartini Kasran selepas tertuduh, Agus Saputra, 25, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati berjudi di tempat awam melalui aplikasi judi haram dalam telefon bimbit miliknya, kira-kira jam kira-kira jam 5 petang, di hadapan kedai makanan dan minuman Batu 10 corner, Ladang Perhentian Tinggi di daerah ini, pada 28 Julai lalu.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan boleh dihukum di bawah seksyen 7(2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, dan semua perkakas atau alat untuk berjudi yang dirampas di bawah seksyen ini dilucutkan hak kepada kerajaan dan tindakan mengenainya diambil selanjutnya.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada tarikh, masa dan lokasi sama didapati tidak memiliki pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang kepada tertuduh untuk masuk ke negara Malaysia.

Oleh itu, tertuduh telah melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta yang sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, dan hendaklah juga bertanggungan kepada sebatan tidak lebih daripada enam sebatan jika sabit kesalahan.

Kartini kemudiannya menjatuhkan hukuman dijalankan serentak iaitu penjara lapan bulan dari tarikh tangkapan dibuat bagi pertuduhan pertama dan penjara enam bulan serta satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh tidak diwakili peguam.