Remaja didakwa samun, rogol wanita di hotel

Suren (dua, kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.
Suren (dua, kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu, atas pertudahan melakukan samun sebelum merogol seorang wanita di sebuah hotel bajet, pada minggu lalu.

Tertuduh K.P Suren,18, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan luar tabii terhadap mangsa yang berusia 34 tahun tanpa kerelaannya.

Kesalahan itu di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Suren turut didakwa melakukan rompakan wang tunai bernilai RM100 dan sebuah telefon bimbit milik mangsa sehingga menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa merogol mangsa sama tanpa kerelaannya sehingga mendatangkan kecederaan terhadap wanita itu dan didakwa di bawah Seksyen 376(2)(a) yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel bajet di Taman Paya Rumput di sini, antara jam 1.11 hingga 1.20 pagi, pada 3 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon jaminan RM40,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh serius.

Manakala tertuduh diwakili peguam Suresh Balakrishnan merayu jaminan dikurangkan memandangkan penjamin merupakan abang tertuduh yang berpendapatan sekitar RM1,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 September depan sebagai sebutan semula kes.